Kenyataan
Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, Presiden MCA yang secara terbuka menentang
Syariat Islam, khususnya undang-undang jenayah hudud, adalah
menyerlahkan sikap Barisan Nasional yang sebenar.
Perlu
diingat bahawa UMNO adalah parti teras dalam BN, yang wujud bersama
MCA, MIC, GERAKAN dan lain-lainnya sebagaimana yang kita ulangi sudah
pun diberi amanah menerajui pemerintahan negara Malaysia ini selama
lebih dari lima puluh tahun.
Hakikatnya
ialah, bahawa UMNO memimpin kerajaan pusat dan kebanyakan kerajaan
negeri, dengan adanya Biro Agama dalam UMNO itu sendiri, dalam
kerajaannya ada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam - yang diletakkan dibawah
Jabatan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, dan ada menteri
penjaganya.
Di
samping diwujudkan Institut Kefahaman Islam (IKIM), Fakulti Pengajian
Islam di beberapa Universiti, di peringkat negeri pula ada Jabatan Agama
Islam masing-masing dan ada Exco Agama daripada UMNO juga.
Tetapi segala-galanya
ini tidak mampu meletakkan Islam itu tinggi di tempat yang sebenarnya
dalam urusan negara Malaysia ini dan di negeri yang dipimpin oleh UMNO.
Adapun Majlis Fatwa Kebangsaan pula hanya bebas dalam lingkungan
sangkarnya, berkokok mengikut waktu yang disesuaikan dengan keselesaan
UMNO yang menjadi penunggunya.
Soalannya mengapa MCA boleh membuat kenyataan terbuka begitu rupa?
Dalam
hal ini, MCA bukanlah parti yang patut disoal atau diminta penjelasan,
kerana parti ini hanya mewakili kelompok masyarakat Cina bukan
Islam. Manakala hukum hudud pula tidak ada dalam ajaran semua agama bukan
Islam yang dianut oleh ahli MCA.
Parti
UMNOlah yang secara khususnya patut dipersoalkan oleh bangsa melayu
yang beragama Islam bukannya MCA, kerana banyaknya urusan Islam di dalam
tubuh parti UMNO serta kedudukannya yang memimpin kerajaan pusat dan
negeri.
PAS
tidak merasa hairan apa yang berlaku, kerana UMNO adalah Parti
Kebangsaan Melayu, di mana “Islam” hanya menjadi agama yang dianut
secara peribadi kalangan ahli UMNO sahaja. Perlembagaan UMNO juga tidak
meletakkan Islam menjadi dasar, matlamat dan hukum tertinggi. Sifat
individualistik yang menjadi konsep kepada ahli UMNO menyebabkannya
tidak boleh bertindak terhadap ahlinya yang melakukan maksiat yang
besar, apatah lagi yang terlalu kecil, kerana agama adalah urusan
individu.
Ahli
UMNO pula boleh menjadi orang yang soleh, paling kuat beribadat, banyak
sembahyang, banyak mendirikan masjid, kerap umrah dan lebih banyak
peluang haji, berkebajikan dalam masyarakat dengan sebanyak-banyaknya
dan sebagainya.
Tetapi
ahli UMNO tidak mampu bercakap atas nama partinya untuk menegur atau
menyanggah kenyataan Presiden MCA, kerana ini akan bercanggah dengan
semangat dan konsep kebersamaan dalam BN yang didukung sama oleh
undang-undang tubuh UMNO yang diselaraskan dengan semua rakan-rakannya
dalam Barisan Nasional.
UMNO
lebih mengutamakan konsep pragmatik sekular yang didukung bersama MCA,
MIC, GERAKAN dan lain-lain, dalam gabungan parti-parti komponen Barisan
Nasional. Maka Islam tidak berkuasa dan berdaulat, hanyalah sekadar
menjadi cabang yang berteduh di bawah semangat Barisan Nasional. Maka
UMNO tidak ada kelayakan untuk menegur Presiden MCA sehingga dia boleh
bercakap apa sahaja termasuk dalam perkara Islam yang dia terlalu jahil
kerana bukan agamanya.
HUDUD
Undang-undang
Hudud adalah salah satu daripada hukum jenayah dalam syariat Islam,
bersama dengan hukuman Qisas dan Takzir. Perkataan “Hudud” bererti
batas-batas sempadan Allah yang tidak boleh dipertikaikan oleh seseorang
yang beriman, di mana hukumannya telah dinaskan oleh Allah secara nyata
dalam Al Quran dan Hadith Rasulullah SAW seperti juga nas wajib
sembahyang lima waktu, puasa, zakat , haji dan pengharaman arak, judi,
riba dan lain-lain. Hudud tidak boleh dinamakan “Hudud PAS” seperti juga
tidak boleh dinamakan “sembahyang PAS”. Hanya yang jahil murakkab sahaja
boleh bercakap begitu. Allah berfirman yang bermaksud:
Maksudnya :“Dan
tidaklah harus bagi seseorang yang beriman, lelaki dan perempuan -
apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara
– mereka tidaklah mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai
urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan
RasulNya maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang jelas
nyata.” (al-Ahzab – 36)
Perkara
yang dinyatakan secara nas saperti Hudud dan Qisas tidak mungkin
dicapai oleh akal manusia, maka Allah menyatakan petunjuknya secara
jelas. Rasulullah SAW sendiri, para pemimpin dan ulama selepasnya wajib
menerima dan pihak yang berkuasa pula wajib melaksanakannya di mana
mereka tidak boleh bertelingkah atau khilaf dari segi wajibnya.
Perbincangan dan berbeza pendapat hanya dalam perkara cabang dari segi
mencari bukti dan proses kehakiman yang adil, bukan meninggalkannya.
Keseluruhan
undang-undang jenayah Islam lebih bersifat dan berkonsepkan mendidik
masyarakat, maka dikenakan syarat yang ketat sehingga sukar menjatuhkan
hukuman, tetapi undang-undang dan hukumannya menakutkan sehingga
Presiden MCA juga takut. Penjenayah lebih digalakkan bertaubat sebelum
dibawa ke mahkamah. Hukum Hudud tidak boleh diampun setelah diputuskan
oleh mahkamah, kerana Hudud menjadi hak Allah bagi memelihara rukun
kehidupan bermasyarakat.
Lucunya,
terdapat pula kalangan yang jahil pula cuba berhujah, bahawa penjenayah
akan berkeliaran atau bertambah kerana hukuman sangat sukar untuk
dijatuhkan. Hakikatnya ini tidak akan berlaku kerana sebelum sesuatu kes
itu dibawa ke mahkamah, pihak yang mendakwa atau pendakwa akan
menentukan samada cukup kesaksian atau tidak untuk kes hudud. Sekiranya
bukti tidak cukup untuk kes hudud bukan bermakna terus dilepaskan.
Bukti-bukti
jenayah ini mungkin cukup untuk dibawa kes ke perbicaraan takzir – di
mana hukuman takzir adalah lebih ringan dari hukuman hudud. Dalam bahasa
mudah difahami waktu ini, hukuman takzir boleh wujud dalam bentuk kanun
keseksaan (penal code) yang hukuman dan beban pembuktiannya jauh lebih ringan dari hukuman hudud.
Setiap
penganut Islam sebelum wujudnya PAS dan UMNO wajib beriman dengan hukum
hudud. Maka penganut Islam dalam UMNO wajib bertegas dan istiqamah
dengan Islamnya, seterusnya bertindak sama ada memecat MCA daripada
Barisan Nasional atau UMNO di pecat atau keluar daripada Barisan
Nasional atau ahli-ahli UMNO yang beragama Islam keluar UMNO
beramai-ramai.
PAS DAN DAP
PAS
berlainan dengan UMNO dan sangat berbeza, kerana PAS tegas mengikut
undang-undang tubuhnya, menjadikan Islam (Quran, Hadith, Ijmak dan
Qiyas) hukum tertinggi, dasar dan matlamat perjuangannya Islam yang
sempurna, maka termasuk urusan politik negara. Sekiranya dikaji Surah Al
Maidah yang diturunkan di Madinah, terdapat di
dalamnya undang-undang
jenayah, di antaranya Hudud.
Kebanyakan
sebab nuzulnya (turun ayat) adalah berkait dengan sikap penganut bukan
Islam yang dijawab secara wahyu. Perkara ini dapat dirujuk dalam kitab
tafsir dan sejarah Islam.
PAS
berijtihad memilih Demokrasi bagi mencapai kuasa pemerintahan dan
melaksanakan Islam termasuk hukum hudud, kerana pendekatan demokrasi
secara damai adalah bersesuaian bagi menyelamatkan manusia bersama Islam
tanpa paksaan, walaupun memakan masa yang panjang sehingga beberapa
generasi serta pemimpin pergi dan datang.
Maka
proses pelaksanaan undang –undang termasuk Hudud dibawa kedalam Dewan
Undangan Negeri Kelantan dan Terengganu setelah mendapat mandat
kemenangan besar dalam pilihanraya lalu. Undang – undang jenayah Islam
termasuk Hudud dipamerkan lebih dahulu kepada masyarakat umum berbagai
agama, di bentang dan dibuka kepada proses soal-jawab terlebih dahulu
sebagai satu proses pendidikannya.
Ingin
saya pertegaskan sekali lagi bahawa pelaksanaan enakmen Islam adalah
hanya untuk orang Islam sahaja, sama sekali tidak untuk bukan Islam. PAS
tidak membawa perkara ini di Kedah, Perak, Selangor dan Pulau Pinang
kerana tidak mencukupi syarat secara demokrasi.
DAP
pula bukan parti kerajaan pusat yang berkuasa sepenuhnya seperti MCA.
Ahli DAP banyak terdiri daripada masyarakat bukan Islam yang tertindas
oleh kekayaan MCA, MIC dan semangat kebangsaan UMNO yang terlalu tinggi.
Maka PAS lebih mudah berkira dengan DAP. Perkara hudud boleh dibincang
secara ilmu dengan adil dan bebas.
Hubungan
PAS dengan DAP dan PKR bukan Islam dalam Pakatan Rakyat adalah secara
muafakat. Maka isu pelaksanaan Islam oleh PAS dalam negeri Pakatan
Rakyat adalah berpandukan kepada hukum Tahaluf Siyasi dalam Feqah
Siyasah. Ini perkara yang perlu difahami oleh penyokong PAS dan rakyat
seluruhnya.
PAS
tetap tegas dengan perjuangan Islamnya dan DAP pula tegas dengan
perjuangannya. Dalam hal ini kerjasama berlaku dalam titik persamaan dan
hak berbeza pendapat tetap dihormati dan hak penganut bukan Islam wajib
diberi dengan adil.
Titik
persamaan secara umum sudah disepakati, apabila DAP menerima konsep
yang sudah ada dalam perlembagaan negara, termasuk kedudukan agama
Islam. Bagi PAS sudah cukup menarik untuk memberi ruang perbincangan
sekiranya memerintah negara. Cara ini tidak boleh dilakukan oleh UMNO
dengan rakan-rakan karibnya dalam Barisan Nasional.
Malangnya
perbincangan yang masih awal diganggu oleh media arus perdana khususnya
berbahasa melayu mengaku Islam, yang sengaja berniat jahat untuk
menghalang cita-cita Islam yang diperjuangkan oleh PAS.
Sekiranya
rakyat memberi kuasa dalam Pilihanraya Umum ke-13 kepada Pakatan
Rakyat, maka PAS yakin dapat membawa mesejnya dengan sempurna tanpa
gangguan syaitan yang dikenali dan tidak dikenali.
----------------------------------------------------------------------------------
Penulis adalah Presiden PAS yang juga anggota Parlimen Marang.
Source: http://www.pas.org.my/index.php?option=com_content&view=article&id=1378:mca-bantu-dedahkan-umno-yang-sebenar&catid=59:kenyataan-media-presiden-pas-sesi-2011-2013&Itemid=461
No comments:
Post a Comment