“Jangan kamu merasa lemah dalam menghadapi lawanmu. Jika kamu menderita sakit, maka sesungguhnya mereka juga menderita sakit sepertimu sedangkan kamu mengharapkan daripada Allah apa yang tidak mereka harapkan” – Surah An-Nisa' : Ayat 104

Wednesday, May 11, 2011

Pemimpin menyusahkan rakyat jika tiada wang

KUALA LUMPUR, 10 Mei: PAS berpendapat tindakan kerajaan menaikkan harga gula sebanyak 20 sen kepada RM2.30 sekilogram sebagai lambang kegagalan BN.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad (gambar) berkata, kenaikan harga gula kali ini adalah yang keempat selepas kerajaan berbuat demikian sebanyak tiga kali pada tahun lalu iaitu pada Januari (20 sen), Julai (25 sen) dan Disember (20 sen).

Alasan daripada kerajaan ia akan menjimatkan wang negara ialah RM116.6 juta setahun apabila gula dinaikkan 20 sen.
“Apakah kerajaan BN tidak ada jalan lain untuk menguruskan kewangan negara?” soalnya.

Nampaknya, kata beliau pemimpin negara jika tidak ada wang, jalan keluarnya dengan menyusahkan rakyat seperti saman ekor, menaikkan harga petrol, gula dan tol.

PAS, ujarnya hairan kenapa Datuk Seri Najib Tun Razak sanggup memberi peruntukan kepada Permata yang dipengerusikan oleh Datin Seri Rosmah sebanyak RM111 juta untuk tahun 2011.

“Apa lebih Permata, hanya setaraf dengan pasukan kompang sahaja, tetapi memperolehi peruntukan begitu banyak hampir dengan pelupusan subsidi gula RM116.6 juta sedangkan peruntukan untuk Sekolah Agama Rakyat hanya RM95 juta sahaja,” katanya.

Baginya, kerajaan memberi alasan yang dangkal untuk menipu rakyat ialah harga gula di Malaysia masih lebih rendah berbanding negara serantau seperti Indonesia, Singapura, Thailand dan Filipina.

Begitu juga, katanya alasan kenaikan harga gula sebagai langkah untuk hidup sihat supaya rakyat mengurangkan pengambilan gula. - Harakahdaily

Link - http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/3219-pemimpin-menyusahkan-rakyat-jika-tiada-wang

Kerajaan cari sumber baru, bukan bebankan rakyat

KUALA LUMPUR, 10 Mei: Kerajaan BN diminta menangguhkan cadangan untuk mewujudkan makmal rasionalisasi subsidi di negara ini, bagi mengelakkan rakyat mengalami bebanan lebih berat dengan kenaikan harga barangan yang tersusun.

Kenaikan harga gula sebanyak 20 sen bermula hari ini merupakan salah satu petanda buruk dari cadangan mewujudkan makmal itu dan sekiranya diteruskan, pelbagai barangan lain pula pasti turut dinaikkan berperingkat-peringkat dari semasa ke semasa.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, kenaikan harga gula sebanyak 20 sen bermula hari ini dari RM2.10 kepada RM2.30 sekilogram merupakan sesuatu yang amat tidak wajar kerana ia jelas lebih menghimpitkan lagi kehidupan rakyat.

Menurut beliau, namun tanpa berfikir panjang, Kerajaan BN telah pun melakukannya, setelah harga petrol RON97 dinaikkan beberapa hari lalu, tetapi harga petrol RON95 tidak pula diturunkan.

Dalam masa yang sama, Perdana Menteri melaung-laungkan negara ini sedang menuju era negara yang berpendapatan tinggi, tetapi rakyat pula sentiasa terbeban dengan kenaikan harga barangan utama.

"Jadi apa ertinya itu semua? Macam mana negara ini boleh muncul sebagai negara berpendapatan tinggi, sedangkan rakyat sentiasa tidak berkecukupan wang, berbelanja lebih dan sentiasa hidup dalam keadaan tertekan ekoran kenaikan harga barangan," katanya pada sidang media di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, di sini, hari ini.

Kenaikan harga gula sebanyak 20 sen bermula hari ini, tegas beliau, pasti akan menyebabkan kenaikan harga barangan lain nanti yang turut melibatkan gula dan ia pasti akan lebih membebankan rakyat.

Tindakan kenaikan harga gula itu diyakini berpunca dari rancangan Kerajaan BN untuk merasionalisasikan subsidi secara berperingkat-peringkat yang kini ternyata amat tidak praktikal, malah amat membebankan rakyat dari pelbagai aspek.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena sehubungan itu meminta Kerajaan BN melihat kembali cadangannya untuk mewujudkan makmal rasionalisasi subsidi itu, dengan mengadakan perbincangan menyeluruh terlebih dahulu dengan pelbagai pihak bagi mendapatkan rumusannya. 

Dalam masa yang sama, beliau tidak menafikan kenaikan harga petrol RON97 sebanyak 20 sen dari RM2.70 kepada RM2.90 seliter mulai 5 Mei lalu dan gula sebanyak 20 sen sekilogram mulai hari ini, berpunca dari masalah kewangan yang dialami oleh Kerajaan BN.

"Tetapi ini jelas melambangkan kegagalan Kerajaan BN dalam mengurus kewangan, di samping kegagalannya mencari sumber baru bagi kewangan negara," jelasnya.

Bagi mengatasi masalah kewangan negara, katanya, Kerajaan BN tidak sepatutnya membebani rakyat dengan kenaikan harga barangan, tetapi mencari sumber baru.

"Jadi, kesemua ini perlu dilihat dan dinilai sendiri oleh rakyat, setelah pelbagai pihak menjadi amat terbeban dengan tindakan-tindakan yang dilakukan oleh Kerajaan BN sejak sekian lama," tegas beliau.  - Aziz Muda, Harakahdaily

Link - http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/3221-kerajaan-cari-sumber-baru-bukan-bebankan-rakyat

Surat penuh bukti jijik misi tawan Selangor !

Dalam entry lepas MiLo SuaM telah mendedahkan sepucuk surat yang membuktikan wujudnya pakatan jahat antara Kementerian Dalam Negeri dan UMNO Cawangan Hulu Selangor untuk mendapatkan kewarganegaraan bagi sejumlah warga asing terpilih untuk membantu kemenangan Barisan Nasional pada pilihan raya akan datang rujuk sini [Rampas Selangor]

Malangnya surat yang dipaparkan sebelum ini tidak lengkap, iaitu hanya memaparkan sebahagian kandungannya. Hal ini membawa kepada pertikaian di dalam entry sebelum ini. Kali ini MiLo SuaM dedahkan paparan keseluruhan surat yang dimaksudkan semoga semua pembaca berpuas hati.


Sila lihat link ini untuk paparan lebih jelas - https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEhx2jeJNUaF85TvzWhp_MK3OBnOnsjvmX70W_YERldB0hBS9sj2GI12yU_hW5a5Zd5ZMfyvYQDEMPcLTXJWBokPSLpGaENPpT4fTLM6MIwv2TgHD1ORd_snZ844sRMam-VIoGSFZJJtOS8/s1600/Surat+Keji.png 
 
Surat tersebut ditandatangani oleh, Dato Haji Idris bin Haji Abu Bakar Ketua UMNO Bahagian Hulu Selangor. Rujuk link ini untuk mengenali beliau dengan lebih dekat lagi [UMNO Hulu Selangor].


Sila lihat link ini untuk paparan lebih jelas - https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEgQcrRFKHf1COR8G6Tt2AzuYpt79RvvpjhPAEZHl7UEXm76HeUcQqoGxvFHP726koT7ZW_1z6byafj8I3WbJQNBd_spch8AmdruqWOBCWJLwnqFU2wDpEZ6YcereuNDYdwnfMjW7GBzmSc/s1600/Keji.png

ReJaM© "Lebih banyak lagi pendedahan taktik jijik misi tawan Selangor akan dibuat, tunggu..."

Thursday, May 5, 2011

Siapa Pengkhianat Islam?

1. Mereka yang menghalang penyatuan UMNO dan PAS digelar pengkhianat Islam oleh Mufti Perlis. Sekilas pandang, siapa jua yang menghalang usaha penyatuan adalah pengkhianat. Justeru penyatuan secara asasnya adalah suci malah dituntut. Tiada siapa yang mahu berpecah dan berpisah tanpa sebarang sebab atau alasan yang kukuh. Tetapi apabila bercakap soal penyatuan antara PAS dan UMNO, saya sarankan sohibus samahah Mufti Perlis mengkaji terlebih dahulu secara mendalam dan teliti.

2. Antara PAS dan UMNO jangan hanya dilihat pada bangsa dan warna kulit semata - mata lalu disogok agenda penyatuan bangsa melayu. Sebaliknya perlu dilihat bagaimana pula sikap kedua - dua parti melayu itu [PAS dan UMNO] terhadap Islam. Sikap terhadap Islam dan bagaimana mereka menanggapi Islam adalah kayu ukur yang paling penting untuk bercakap soal penyatuan antara kedua parti ini.

3. Sungguhpun Islam menggalakkan malah menyuruh supaya ummatnya bersatu padu, namun Islam meletakkan syarat serta garis panduan yang jelas bagaimana penyatuan itu wajar dilakukan atau sebaliknya. Antaranya Firman Allah yang bermaksud :

Wahai orang - orang yang beriman, bertaqwalah kamu dengan sebenar - benar taqwa dan jangan kamu mati melainkan kamu tunduk menyerah diri kepada Allah swt. dan berpegang teguhlah kamu dengan Tali Allah dan jangan sekali - kali kamu berpecah belah dan ingatlah nikmat Allah ke atas kamu ketika dulunya kamu saling bermusuhan maka Allah telah menyatukan hati - hati kamu, lalu dengan nikmat Allah itu kamu bersaudara sedang kamu telah berada di jurang api neraka, lantas Allah menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah dijelaskan oleh Allah kepada kamu ayat - ayatNya, mudah - mudahan kamu beroleh petunjuk.

Surah Aali Imran 103

4.  Ayat di atas jelas meletakkan syarat utama untuk tidak berpecah belah ialah berpegang teguh dengan Tali Allah iaitu Al Quran atau Al Islam bukan bangsa atau warna kulit jauh sekali harta benda, pengaruh dan pangkat. Lantaran penyatuan manusia adalah melibatkan penyatuan hati dan hati tidak boleh dijinakkan dengan harta benda dunia. Firman Allah swt yang bermaksud :

Dialah [Allah] yang telah menyatukan antara hati - hati mereka. sekiranya engkau membelanjakan keseluruhan apa yang ada di atas muka bumi ini, nescaya engkau tidak boleh menyatukan hati - hati mereka akan tetapi Allah swt telah menyatukan antara mereka sesungguhnya Ia Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

Surah al Anfaal 63

5. Islam adalah asas penyatuan. Tanpa Islam bagaimana mungkin penyatuan itu boleh direalisasikan. Sementara kebajikan dan taqwa pula menjadi objektif utama kepada penyatuan yang dianjurkan oleh syariah. Firman Allah swt yang bermaksud :

dan bertolong bantulah kamu dalam perkara yang membawa kepada kebajikan dan taqwa dan jangan kamu bertolong bantu dalam perkara yang mengundang dosa dan permusuhan. Bertaqwalah kepada Allah swt sesungguhnya balasan Allah sangat dahsyat.

Surah al Maaidah 2

6. Ayat di atas pula bukan sahaja menyuruh kita bertolong bantu, bekerja sama dan bersatu padu untuk melakukan amal kebajikan dan bertaqwa kepada Allah [ dengan melaksanakan apa yang diperintah oleh Allah swt dan meninggalkan apa jua yang telah dilarang oleh Allah swt.] tetapi nas di atas juga melarang sebarang kerjasama dan penyatuan yang menumbuhkan bibit dosa serta menyuburkan permusuhan sesama ummat manusia.

7. Penyatuan antara PAS dan UMNO mesti disokong malah wajib diusahakan jika ianya berteraskan Islam dan berobjektifkan taqwa kepada Allah swt. Pengusahanya dijulang dan penyokongnya dialu - alukan. Sementara penentangnya adalah jahat dan pengkhianat.

8. Sebaliknya penyatuan antara PAS dan UMNO tidak boleh dilaksanakan jika ianya tidak diasaskan kepada Islam dan pula berobjektifkan dosa kepada Allah swt. Pengusahanya dilarang dan penyokongnya pula sia - sia. Sementara penentangnya pula adalah hebat dan berwibawa.

9. Bahkan kerjasama yang disertai PAS bersama Pakatan Rakyat adalah kerana Islam dan ianya dilandaskan di atas konsep Tahaaluf Siasi [kerjasama politik] untuk menumbangkan kerajaan Barisan Nasional guna menamatkan siri penyelewengan, penyalahgunaan kuasa, rasuah, kezaliman, penindasan yang dilakukan oleh Barisan Nasional sejak lebih 50 tahun yang lalu.

10. Tanpa perlu membuang masa lagi, saya mengundang UMNO meninggalkan Barisan Nasional dan meninggalkan segala perbuatan mungkar demi masa depan agama, rakyat dan negara. Ayuh kita bersatu dan bersama dengan Pakatan Rakyat untuk membina masa depan dan peradaban baru yang lebih dinamis, jauh dari pengaruh mungkar yang dimurkai oleh Allah swt. Pengusaha yang gigih untuk menamatkan siri keangkuhan kuasa dan sombong dengan dosa yang dilakukan oleh mereka adalah pejuang sementara Penentang usaha inilah pengkhianat Islam!

Murnikan Perjuangan dan Maknakan Kemenangan

Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia


Link - http://bm.harakahdaily.net/index.php/columnist/ketua-pemuda-pas/3109-siapa-pengkhianat-islam

Dr. Juanda jangan gopoh

KUALA LUMPUR, 5 Mei: PAS terkejut dengan kenyataan Dr Juanda Jaya, Mufti Perlis yang mengatakan siapa yang menghalang penyatuan PAS dan Umno adalah pengkhianat.
Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad (gambar) menasihatkan Sahibussamahah itu jangan terlalu gopoh memberi pandangan mengenai perkara itu.

Perlu diingatkan, katanya sebarang pandangan yang keluar daripada orang agama ia mempunyai implikasi yang besar kepada orang awam.

Beliau berkata, sepatutnya sebagai seorang mufti perlu berpegang kepada disiplin untuk mengeluarkan sebarang kenyataan, antaranya ialah perlu memahami tasawwur (gambaran sebenar) perkara yang hendak dihukum, barulah ia mendapat natijah yang betul.

“PAS bimbang kenyataan ini akan diperalatkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab, terutama Umno yang akan menjaja pandangan ini bahawa Umno hendak kepada perpaduan, yang tidak mahu kepada perpaduan ialah PAS, sehingga rakyat nampak PAS jahat, manakala Umno baik,” ujarnya kepada Harakahdaily.

PAS, jelasnya tegas dengan prinsip bahawa penyatuan yang tidak berlandaskan kepada prinsip Islam, seperti bersatu dengan parti yang jelas mengkhianati amanah rakyat selama mereka memegang tampuk kuasa 54 tahun.

Katanya, ketika bercakap soal perpaduan Melayu dalam masa yang sama tabiat jahat tidak pernah dibuang, seperti diskriminasi pada Kelantan mengenai tuntutan royalti minyak.

“PAS menasihat kepada Sahibussamahah supaya menggunakan platform Mufti untuk menasihat pemimpin Umno BN supaya kembali kepada penghayatan agama dan laksanakan amanah dengan baik.

“Tegur mereka supaya tidak zalim kepada rakyat yang berlainan ideologi,” ujarnya. - Harakahdaily


Link - http://bm.harakahdaily.net/index.php/headline/3113-dr-juanda-jangan-gopoh

Ust. Azhar - Ayoh Nakut

Wednesday, May 4, 2011

Lynas: Kerajaan digesa bersikap rasional, tegas

KUALA LUMPUR, 3 Mei: Yang Dipertua Majlis Perwakilan Mahasiswa UM, Mohd Syahid Mohd Zaini menggesa kerajaan Malaysia bersikap lebih tegas dan mengambil tindakan yang lebih rasional terhadap projek pembinaan sebuah loji nuklear di Pahang.

“Bolehkah anda bayangkan penderitaan apabila cahaya mata yang dinanti-nantikan oleh keluarga, dilahirkan terencat akal dan cacat anggota?” soalnya.
Beliau turut menyatakan kerajaan perlu memikirkan jangka masa panjang sekiranya projek itu tetap akan dilaksanakan.

“Kerajaan wajib mempertimbangkanpro dan kontra projek kontroversi itu.
“Dan tidak perlu tergesa-gesa dalam menerima pelaburan yang membawa risiko besar kepada rakyat dan alam sekitar,” tambahnya dalam satu kenyataan.

Mohd Syahid turut menyeru agar seluruh Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPM) dan mahasiswa seluruhnya menyokong gerakan membantah ‘Projek Lynas’.

“Saya dengar sisa radioaktif yang akan dihasilkan nanti 10 kali lebih tinggi daripada kilang nadir bumi Asia di Bukit Merah, Perak yang ditutup 20 tahun lalu.

“Jadi, sisa radioaktif yang terhasil itu akan membawa nahas alam sekitar dan kesihatan kerana tahap radioaktif yang terhasil akan memberi kesan lebih buruk.

Mahasiswa harus bersama-sama membantah projek ini kerana ianya akan meninggalkan kesan lebih buruk untuk generasi akan datang kelak,” tegasnya lagi.

Projek memproses nadir bumi yang sedang dibina di Gebeng, Pahang oleh firma Australia, Lynas akan menghasilkan 20,000 tan sisa radioaktif setahun apabila beroperasi kelak.

Syarikat itu dipercayai telah melabur sekitar RM700 juta untuk membina loji Lynas Advanced Materials Plant (Lamp), dan dijangka projek itu akan disiapkan pada bulan September. - Harakahdaily

Link - http://bm.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&view=article&id=3090:lynas-kerajaan-digesa-bersikap-rasional-tegas&catid=34:primary&Itemid=56

Konvensyen Kelestarian Hidup & Pembentukan Usahawan Sosial

Kolej Dar al-Hikmah, Sungai Ramal Dalam, 27 Jamadil Awal = 01 Mei (Ahad):
Adun Bangi diberi penghormatan merasmikan Majlis Penutup Konvensyen separuh hari di atas yang tamat jam 1.00 Tengahari. Sebelumnya Majlis Perasmian dilakukan oleh YB Dr. Hj. Yaakob Sapari. Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Asas & Pembangunan Usahawan Kerajaan Negeri Selangor. Adun tidak berkesempatan mendengar ucapan YB Dr. Haji Yaakob, tapi sudah pasti berhubung dengan galakan agar masyarakat melestarikan hidup dengan memanfaatkan sumber keliling untuk menjanakan ekonomi – sekurang-kurangnya bersifat tambahan sama ada dalam bidang pertanian, maupun di dalam bidang perusahaan. Bahkan bidang berkenaan adalah di bawah Exco YB Dr. Haji Yaakob, sebenarnya beliau adalah penggerak utama dan Konvensyen hari ini ditaja bersama oleh Kerajaan Negeri Selangor bersama Kolej Dar al-Hikmah, Koperasi Belia Islam Malaysia Berhad dan Global Peace Malaysia. Adun dijemput merasmikan penutup kerana tempat konvensyen adalah terletak di bawah DUN Bangi. Objektif konvensyen dijelaskan:
  • Menjelaskan tentang konsep kelestarian hidup dan kepentingan kepada masyarakat.
  • Menjelaskan konsep usahawan sosial dari perspektif dakwah dan fungsinya dalam masyarakat
  • Mengetengahkan isu-isu alam sekitar sebagai medium dakwah dalam menggerakkan masyaraklat ke arah kelestarian hidup.
  • Menjelaskan faedah-faedah yang boleh diperolehi kepada masyarakat dari aspek ekonomi, alam sekitar dan dakwah hasil amalan konsep kelestarian hidup yang diterapkan di dalam masyarakat.
Oleh kerana apa yang dikonvensyenkan adalah asing dari bidang dan maklumat Adun, maka Adun sengaja hadir lebih awal dari masa penutup bagi mengikuti dan memahami topik-topik yang diperbincangkan. Selain dari Ucap Utama yang disampaikan oleh YB Dr. Yaakob kertas berjudul Apa itu Kelestarian Hidup ? disampaikan oleh Tuan Haji Ahmad Kamal Mohd Ali – Pakar Perunding Pertanian Organik. Beliau juga adalah Penolong Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP). Peranan Pendidikan Dalam melahirkan Usahawan Sosial disampaikan oleh Encik Samsuddin Zainal Selaku Pengerusi Koperasi Belia Islam (M) Bhd. Kertas Pertanian Bandar & Teknologi Tepat Guna disampaikan oleh Haji Mohd Asri Abdul Ketua Pegawai Eksekutif Global Peace Mission Malaysia. Hadir sama ialah Tuan Haji Md. Fuad Bahari @ Bukhari selaku Penasihat Konvensyen, En. Mohd. Azlan Md. Arshad selaku Pengarah dan AJK-AJK dan peserta-peserta lebih kurang 100 orang.
Apa yang Adun dapat fahami dari pembentangan bahawa perlunya setiap kita mengambil peluang menjana pendapatan dari wadah alamiah dan alam sekitar yang ada pada kita dan alam sekeliling kita seperti menanam sayur-sayuran, serai, terung, kacang dan sebagainya. walaupun tak ada ruang, tapi boleh menanam di dalam beg plastic dengan menggunakan baja organic yang diproses sendiri dan mengelak dari baja kimia dan penggunaan racun serangga. Dengan demikian kita dapat menyelamatkan kewangan dari membeli di pasar. Yang lebih penting kita dapat menggunakan sayuran segar yang tidak dicemari racun serangga. Bagi menyedarkan masyarakat agar dapat memanfaat alam sekeliling, perlu kepada kesedaran, bimbingan dan tunjuk ajar dari mereka yang mahir. Perlu dihidupkan kesegaran minda, kecenderungan, minat, kreatif dan innovatif. Misalnya melalui kesedaran dan kesesuaian bagi yang mahir dalam bidang automatif, misalnya dapat mendirikan bengkel. Juga misalnya Bangi sebagai Bandar Ilmu, maka darinya dapat diambil kesempatan menjana pendapatan. Misalnya berniaga buku, menerbit buku, mengadakan pameran dan jualan, mengeluarkan sovenier yang berhubung dengan Bangi Bandar Ilmu, seperti cenderamata pena yang terakam Bangi Bandar Ilmu, pemegang kunci Bangi Bandar Ilmu, mug, crest dan baju T Shirt yang terakam Bangi Bandar Ilmu, buku catatan Bangi Bandar Ilmu dan sebagainya. Terpulang kepada kreativiti dan innovasi seseorang usahawan.
Sebelum perasmian penutup konvensyen Pengarah Program saudara Mohd Azlan Md. Arshad membaca resolusi bahawa:
  • Manusia yang dianugerah Allah minda dan rasa kemanusiaan hendaklah bersifat amanah dan bertanggungjawab di dalam memeliharakan hutan dan alam sekitar.
  • Perlu dilatih dan membentuk masyarakat yang kreatif dan innovatif dan menghasikan keluaran yang menjamin pendapatan lebih.
  • Hasil makanan dan pembuatan perlu kepada dikenal dan dipopulakan di tengah masyarakat.
  • Perlu penggunaan teknologi sederhana sesuai dengan keadaan setempat dan perusahaan atau pertanian yang diadakan.
Bagi Majlis Penutup bagi Konvensyen Kelestarian Hidup & Pembentukan usahawan sosial, maka Adun mengucapkan terima kasih di atas jemputan pihak panitia konvensyen dan kepercayaan yang diberi. Kehadiran Adun lebih bersifat belajar dari mengajar. Dari perbincangan yang Adun ikuti, jika diamalkan cadangan, sebenarnya kita dapat mengurangkan apa yang dikatakan kemiskinan, jika pun tidak dapat dihapuskan seluruhnya. Modal paling utama ialah diri insan yang mampu menggunakan minda, kreativiti dan inovasi. Inilah peranan usahawan sosial bagi memberi pendidikan dan menyedarkan kalangan yang berpotensi menjadi usahawan atau usahawan sambilan tani dan perusahaan.
Apa yang dibincangkan pada hari ini patut diperluaskan kepada masyarakat, terutama golongan muda yang mempunyai tenaga dan peluang yang lebih. Apa yang dicadang dan diresolusikan oleh sidang secara kebetulan sedikit sebanyak telah Adun usahakan di Bangi. Misalnya mengadakan kursus usahawan kecil kepada ibu tunggal bagi melatih mereka berdikara misalnya membantu mereka dengan mesen jahit untuk mereka berusaha di dalam bidang jahitan, melatih golongan muda berusaha menanam cendawan, bahkan baru-baru ini kita adakan kursus memelihara kambing di Bangi, peringkat Hulu Langat dengan kerjasama Pejabat Hewan Hulu Langat dengan mendapat sambutan hangat, bahkan memberi modal bagi usahawan-usahawan kecil.
Bagi melahirkan usahawan, kini kerajaan negeri menyediakan pinjaman Kredit Luar Bandar dan Kredit Bandar (Mimbar) bagi membantu usahawan tani dan industri kecil. Apa yang dicadangkan di dalam resolusi misalnya memperkenalkan konsep kelestarian hidup, mewujudkan usahawan sosial, konsep pertanian Bandar dan kobsep penggunaan teknologi sederhana akan diangkatkan kepada pihak negeri. Bahkan hal ini telah lebih diketahui oleh YB Dr. Hj.Yaakob Sapari yang memang sedang giatkan dan memperkembangkan konsep pelestarian hidup di tengah masyarakat di negeri Selangor.
Sekian.

Link - http://drshafie.blogspot.com/2011/05/konvensyen-kelestarian-hidup.html

Merungkai permainan kata-kata Najib dan Chua

   
KUALA LUMPUR, 2 Mei: Rakyat kini berhadapan dengan satu permainan teka-teki yang dimainkan oleh dua pemimpin tertinggi Barisan Nasional (BN), Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak dan juga Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek.

Baru-baru ini, Najib yang juga merupakan Perdana Menteri telah menjemput PAS untuk bersama-sama BN kerana parti Islam tersebut tidak mungkin dapat merealisasikan matlamat mereka di dalam Pakatan Rakyat kerana DAP tidak memperjuangkan Islam.

“Kenapa buat baik dengan DAP? Adakah DAP boleh perjuangkan Islam? Hadi (Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang), cukup-cukuplah dengan DAP, tinggalkan DAP, masuk BN,” Najib dipetik sebagai berkata oleh Bernama.

Secara tidak langsung dan teoritis, jemputan Najib bermaksud bahawa BN secara dasarnya sudah setuju (maklumlah beliau ialah Presiden BN), dan dapat membantu PAS untuk menjayakan dasar Islamnya di dalam sistem negara.

Manakala bagi Chua pula, beliau menyatakan bahawa MCA secara dasarnya bersetuju untuk PAS menyertai Barisan Nasional, namun bersyarat – “hanya dan jika hanya” parti Islam tersebut menggugurkan prinsip-prinsip negara Islamnya terlebih dahulu.

“Pendirian MCA adalah sangat jelas bahawa kami tidak akan menerima PAS dalam usaha mereka menjadikan negara ini negara Islam. Kami tidak akan menerima yang itu dan Perdana Menteri juga memang sedar akan pendirian MCA ini.

"Mereka boleh menyertai BN jika mereka sanggup menggugurkan dasar menjadikan negara ini sebagai negara Islam,” kata Chua.

Dengan mengganggap kenyataan Chua sebagai benar, ini bermaksud Presiden MCA telah mendedahkan ketidakikhlasan Najib dalam memberikan ‘wadah’ yang lebih baik untuk PAS untuk melaksanakan perjuangannya kerana beliau amat sedar bahawa MCA  (seperti yang didakwa Chua bahawa beliau tahu) akan membantah sekeras-kerasnya dasar Islam yang dibawa PAS tanpa mempedulikan pendirian Umno.

Dengan mengganggap kenyataan Chua sebagai benar, MCA telah membuktikan bahawa tanggapan semua orang ternyata silap bahawa Umno menentukan segala-galanya dalam BN kerana Chua telah menunjukkan bahawa beliau boleh tidak mengendahkan Umno dalam perkara-perkara yang tidak disukainya.

Dengan mengganggap kenyataan Chua sebagai benar, maka DAP bukan penghalang terbesar untuk PAS mencapai cita-citanya, sebaliknya ia adalah MCA, tidak kira di mana PAS berada asalkan parti Islam tersebut kekal konsisten dengan perjuangannya.

Menjawab balas kepada permainan teka-teki Najib-Chua, Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad (kanan) dari PAS telah memberi penjelasan yang cukup ringkas bagi merungkai permainan politik ini jika ada di antara rakyat yang keliru dengan drama ‘good cop, bad cop’ (polis baik, polis jahat) yang dilakonkan oleh Najib dan Chua.

“MCA menolak PAS daripada menyertai BN jika PAS kekal dengan dasar perjuangan Islam. Najib jemput, Soi Lek tolak!

"Tapi, DAP tidak pernah sesekali meminta PAS untuk menggugurkan negara Islam, ia cuma bukan agenda bersama Pakatan Rakyat,” tulis Dzulkefly di laman Twitternya, yang secara langsung ingin memberitahu Najib bahawa MCA adalah jauh lebih teruk daripada DAP dalam hal yang berkaitan dengan Islam.

Dzulkefly juga menyifatkan drama antara Najib dan Chua hanyalah sebagai satu percubaan untuk memberikan lesen kepada kedua-dua pihak untuk memburukkan kaum Tionghua, PAS dan Islam, semua pada masa yang sama, tapi kepada hadirin berlainan.

“Chua tengah memberikan Umno lesen untuk memburukkan kaum Tionghua, dan Umno memberikan lesen kepada Chua untuk membusukkan PAS dan Islam. Satu gabungan yang sesat!” kata Dzulkefly.

“Chua selalu didedahkan oleh Umno bahawa PAS sentiasa berpendirian untuk sebuah negara teokratis dan otokratik. Aduh, betapa ianya jauh menyimpang daripada kebenaran!”

Apa yang dikatakan Dzulkefly agak benar kerana Chua, yang mengakui bahawa beliaulah pelakon dalam video seks dengan seorang wanita tiga tahun yang lalu, terkenal dengan sikap biadapnya terhadap Islam yang diberikan lampu hijau oleh Umno secara senyap.

Sebagai contoh, Chua pernah menyoal mengapa kedai-kedai di Kelantan tidak beroperasi ketika Hari Raya Haji, memandang rendah serta menghina kaum Muslimat yang enggan bersalam dengan kaum lelaki bukan muhrim atas kehendak agama dan juga mengeluarkan kenyataan menyimpang bahawa negara yang mempunyai majoriti masyarakat Islam 'is naturally corrupt' (biasanya mengamalkan rasuah).

Watak Chua juga terjejas teruk apabila beliau mencetus kontroversi di Twitter bulan Mac yang lalu setelah menggunakan kata-kata kesat dalam bahasanya ketika membalas pengkritik yang merentasi isteri-isteri mereka, orang tua dan juga saudara kandung.

Namun demikian, walaupun sedar dengan kelakuan Chua, Umno dan terutamanya Najib tidak pernah menegur beliau atas tindakannya menghina Islam,  dan bagi kebanyakan orang, sebenarnya Najib mengizinkan Chua untuk terus meremehkan Islam sebagaimana yang beliau suka buat di hadapan komuniti bukan Islam, terutamanya kaum Tionghua.

Sekiranya ada pemimpin DAP yang melakukan perkara yang sama seperti Chua, sudah pasti ulama-ulama Umno akan melenting dan menyarankan bahawa pemimpin terbabit didakwa di bawah akta hasutan, dan lebih teruk lagi dikurungkan dalam ISA yang jelas menyimpang daripada ajaran Islam.

Dengan kelalaian yang cukup jelas dalam menjaga nama baik Islam, parti dan golongan manusia yang sama ini cukup bebal dalam mengajak PAS untuk menyertai pasukan mereka, yang kononya demi mencapai cita-cita yang tidak boleh dilaksanakan dalam Pakatan Rakyat.

Ia dilakukan dalam keadaan cukup sedar bahawa dalam pasukan tersebut terdapat satu parti anti-Islam, MCA yang menentukan syarat penyertaan dengan menyuruh parti Islam menggugurkan dasar Islam sebelum menyertai BN.

Sekarang, siapa lagi yang masih betul-betul keliru dalam permainan teka-teki Najib-Chua ini? - Analisis Harakahdaily

Link - http://bm.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&view=article&id=3085:merungkai-permainan-kata-kata-najib-dan-chua&catid=34:primary&Itemid=56

Tuesday, May 3, 2011

Tinggalkan Umno, sertai PAS

KUALA LUMPUR, 1 Mei: Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyeru ahli-ahli dan pemimpin Umno supaya meninggalkan parti itu dan bersama PAS jika benar-benar hendak melaksanakan Islam dan menegakkan keadilan untuk semua bangsa di negara ini.

“Jika benar Umno hendak laksanakan Islam dan bertindak dengan penuh keadilan, kuasa sudah ada di tangan mereka hari ini, mengapa mereka tidak laksanakan?” katanya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Presiden PAS itu memberi respons terhadap kesekelian kalinya, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dengan tanpa segan silu mengulangi lagi seruannya supaya PAS bekerjasama dengan Umno BN dan meninggalkan kerjasama PAS menerusi Pakatan Rakyat (PR).

Najib berkata, pemimpin PAS perlu menerima kenyataan bahawa mereka mesti keluar daripada pakatan pembangkang jika benar-benar berjuang untuk kepentingan agama Islam.

Menurutnya, PAS tidak akan memperoleh apa yang dicita-citakan selama ini dan kerjasama dengan parti pembangkang lain hanya memberi keuntungan kepada DAP.

''Tak kisahlah sama ada PAS mahu bersendirian atau bergabung dengan Umno, yang penting mereka tidak boleh bergabung dengan DAP kerana usaha PAS dalam memperjuangkan Islam akan terhalang," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Perumahan Pangsapuri Rakyat di Pulau Duyung, Kuala Terengganu semalam.

Bagi PAS, tegas Tuan Guru Abdul Hadi seruan Najib itu adalah janggal dan aneh, kerana PAS sekali-kali tidak akan bekerjasama dengan Umno BN dalam melakukan kezaliman dan meruntuhkan keadilan kepada rakyat yang telah menjadi bencana dalam negara kita yang tercinta ini.

Katanya, kerjasama atau penyatuan seharusnya dibina dengan bercirikan asas bertolong-tolong dalam melakukan kebajikan dan keadilan, dan bukan bertolong-tolong dalam melakukan maksiat, kezaliman dan memusnahkan harta negara.

“PAS mendokong fikrah yang jelas, bahawa kerjasama bersama PR adalah dibina dengan berpegang kepada dasar bantu-membantu dalam menegakkan keadilan dan menentang kezaliman,” tegasnya yang juga ahli Parlimen Marang.
Jelasnya lagi, kerjasama PAS selama ini dengan DAP contohnya, adalah di atas nama tahaluf siyasi yang dibenarkan agama dan tidak menggadaikan prinsip.

Ia, katanya tidak sama dengan kerjasama wala antara Umno dengan MCA dan MIC yang menggadaikan prinsip Islam, hanyut dengan kuasa dan seterusnya menghilangkan jati diri Melayu Islam dalam negara kita ini sejak puluhan tahun.
“Kita ingin bertanya, siapakah yang sebenarnya menggunakan kuasa tanpa hak dengan menyekat royalti minyak milik rakyat Terengganu dan Kelantan, yang lebih dari 90% adalah orang Melayu-Islam?

“Siapakah pula yang mendiskriminasikan penyokong pembangkang di kalangan orang Melayu sehingga peluang berniaga, pendidikan, pengagihan ekonomi hanya tertumpu di kalangan Umnoputra?

“Siapakah yang menyekat Kelantan dan Terengganu melaksanakan syariat Islam sebelum ini?” soalnya.

Jawapannya, kata beliau adalah kerajaan pimpinan Umno BN itulah yang sebenarnya melemahkan orang Melayu itu sendiri. - Harakhdaily

Link - http://bm.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&view=article&id=3058:tinggalkan-umno-sertai-pas&catid=34:primary&Itemid=56

Kenapa kerajaan enggan laksana qazaf

KEPALA BATAS, 1 Mei: Timbalan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Rosidi Hussain mempersoalkan keengganan kerajaan untuk melaksanakan hukum qazaf dalam isu yang membabitkan video lucah.

"Apabila kerajaan sering memomokkan kepada dunia bahawa Malaysia adalah negara Islam, kenapa hukuman seperti qazaf yang memerlukan empat orang saksi yang tidak fasik dan adil itu enggan dilaksanakan, sedangkan kerajaan mempunyai ramai ilmuan dan pakar dalam bidang tersebut.

"Sebagai peringatan, jangan kita dilaknat oleh Allah apabila berkemampuan untuk melaksanakan hukum tersebut, tetapi enggan melaksanakannya kerana kepentingan tertentu," tambahnya lagi.

Mengenai tindakan Datuk Shazryl Eskay Abdullah yang memperjudikan sumpah laknat, katanya membuktikan dia adalah seorang yang tidak memahami agama Islam yang sebenar.

Menurut beliau lagi, ianya telah juga menjelaskan secara ketara kehidupan yang penuh kepura-puraan kerana sumpah dijadikan mainan munafik seperti mana yang dijelaskan dalam surah Al-Munafiqun.

"Sepatutnya sebagai seorang yang telah berusia Eskay sepatutnya bertaubat nasuha dan tidak merendahkan maruah sendiri seperti pengakuan yang dibuat.

"Malah sekiranya nasihat seorang imam dari masjid terbabit juga tidak dipedulikan, ini seolah-olah dia orang yang lebih tinggi martabatnya jika dibandingkan dengan imam tersebut," ujarnya lagi. - Fakhri Ali, Harakahdaily

Link - http://bm.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&view=article&id=3057:kenapa-kerajaan-enggan-laksana-qazaf&catid=34:primary&Itemid=56
  Bookmark and Share

Seminar Maqasid Syari'ah

SEMINAR MAQASID SYARI'AH

TARIKH:
3 Jumada Al-Thani 1432 H bersamaan 7 Mei 2011 M (Sabtu)

MASA:
8.00 pagi hingga 2.00 petang

TEMPAT:
Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin
Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Selangor Darul Ehsan

PESERTA:
  1. Ahli Majlis Syura Ulamak
  2. AJK Kerja PAS Pusat
  3. Pesuruhjaya PAS Negeri-negeri
  4. AJK Kerja Dewan-dewan PAS Pusat
  5. AJK Harian Perhubungan PAS Negeri-negeri
  6. AJK Kerja Dewan Ulamak PAS Negeri-negeri
  7. AJK Harian Dewan-dewan PAS Negeri-negeri
  8. AJK Harian PAS Kawasan-kawasan
  9. Ahli Dewan Rakyat
  10. Ahli Dewan Undangan Negeri
ANJURAN:
PAS Pusat

KERJASAMA:
Dewan Ulamak PAS Pusat

TENTATIF PROGRAM:
8.00 a.m.                - Kehadiran Peserta
                               - Sarapan pagi
                               - Pendaftaran

8.55 a.m.                - Ucapan aluan Pengerusi Majlis

9.00 a.m.                - Bacaan ayat suci Al-Quran

9.30 a.m.                - Ucapan Perasmian dan Pembentangan Kertas Utama
                                 : YB Dato' Seri Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang
                                   (Presiden PAS)
                                 : "Maqasid Syari'ah"

                               - Pengulas (1)
                                : YB Dato' Ustaz Haji Harun Taib (Ketua Dewan Ulamak    
                                   PAS Pusat)

                               - Pengulas (2)
                                 : YAB Dato' Seri Ustaz Haji Azizan Abd Razak (Pesuruhjaya
                                   PAS Kedah)

                              - Soaljawab

1.00 p.m.               - Ucapan Perasmian Penutup
                                 : YB Dato' Seri Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang

1.30 p.m.               - Rehat, solat zohor dan makan tengahari

2.00 p.m.               - Bersurai

Najib macam ketam minta PAS berpisah dengan DAP

KUALA LUMPUR, 1 Mei: PAS menganggap cadangan Datuk Seri Najib Razak supaya PAS berpisah dengan DAP seperti ketam mengajar anaknya berjalan betul kerana parti ini tidak sehaluan.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad (gambar) berkata, Najib perlu menyelesaikan masalah dalaman BN dahulu.

“Jangan cuba mengalih isu yang sedang melanda BN dengan rakan komponen BN mengenai  isu 1Melayu 1Bumi telah menimbulkan kemarahan MCA.

“Apa sudah jadi  slogan 1Malaysia tiba-tiba  lahir pula gagasan 1Melayu 1Bumi, seolah-olah Umno menduakan suami,” ujarnya.

Beliau mengulas alasan Najib bahawa PAS perlu jauh dengan DAP kerana PAS bekerja, yang menang ialah DAP dan PAS perlu berpisah dengan DAP kerana PAS tidak boleh melaksanakan agenda Islam.

“PAS hendak bertanya sejak bila pula Umno iktiraf PAS sebagai sebuah parti Islam,” ujarnya.

Katanya, dengan kenyataan Najib sahlah teori yang mengatakan Umno akan bercakap Islam dan Melayu ketika orang Melayu menolak Umno.

“Ketika rakyat tolak Umno, baru mereka sedar, PAS parti orang Melayu. Selama ini merekalah membunuh kontraktor dan ahli perniagaan PAS, berapa ramai aktivis PAS diletakkan bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA),” katanya lagi.

Tambahnya, terbaru mereka menukar Cikgu Maaruf Mutalib, suami Cikgu Normala bekas calon PAS di Tenang.

“Siapa punya angkara?” soalnya.

Menurutnya, sekarang apabila lemas kerana pelampong  Umno, iaitu pengundi bukan Melayu sudah meninggal mereka, baru mereka teringat kepada PAS.

PAS, ujarnya hendak mengingatkan Najib bahawa PAS membayar harga begitu mahal untuk berada bersama Pakatan Rakyat.

Katanya, kejayaan PAS yang menjinakkan orang bukan Islam kepada Islam satu imbuhan yang cukup berharga.

“Hendak harap kepada Umno memberi kefahaman Islam kepada orang bukan Islam di negara ini amat jauh sekali,” ujarnya.

Malahan, menurutnya merekalah yang meliarkan orang bukan Islam dengan Islam.

Tambahnya, sikap hipokrit mereka dengan berjumpa pengundi bukan Islam supaya menjauhkan dengan PAS kerana mereka hendak melaksanakan agenda Islam, apabila berjumpa pengundi Islam mereka mendakwa PAS sudah tidak bercakap Islam kerana takut kepada DAP. - Harakahdaily

Link - http://bm.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&view=article&id=3061:najib-macam-ketam-minta-pas-berpisah-dengan-dap&catid=36:headline&Itemid=68

Utusan pecat Presiden NUJ Hata Wahari

KUALA LUMPUR – Kumpulan Utusan telah memecat Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ), Hata Wahari kerana didapati bersalah mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang dikatakan mencemari imej syarikat milik Umno itu.

Syarikat itu memaklumkan keputusannya itu dalam satu surat bertarikh 21 April 2011, yang ditandatangani oleh Pengurus Besar Sumber Manusia Mohd Nazlan Osman.

Pada 14 April lalu, panel siasatan dalaman Kumpulan Utusan mendapati Hata bersalah atas tuduhan memburuk-burukkan nama syarikat itu melalui laporan yang disiarkan beberapa media tempatan.

Hata (gambar), wartawan kanan akhbar Utusan Malaysia, berhadapan dengan lapan tuduhan yang dikemukakan berdasarkan lapan laporan berlainan yang disiarkan portal dan akhbar.
Hata sebelum ini sering mengutarakan pandangan yang lantang berhubung isu pemilikan akhbar Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia, kejatuhan edaran akhbar dan ‘kelemahan’ dalam kepengarangan akhbar berkenaan.

Dia telah digantung kerja sejak 11 Januari lalu oleh Kumpulan Utusan.

Tidak jelas sama ada Hata akan dibenarkan meneruskan jawatannya sebagai presiden NUJ ekoran pemecatan hari ini, tetapi wartawan itu yakin kesatuan kebangsaan tersebut akan terus menyokongnya.

Dia juga merujuk kes J. Solomon yang terus kekal sebagai Setiausaha Agung Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) meskipun dipecat oleh majikannya.

Hata menyertai Kumpulan Utusan pada 1995.

Pada 2009, Kumpulan Utusan turut menjalankan siasatan dan memecat Pengerusi NUJ cawangan Utusan, Amran Ahmad selepas didapati bersalah memfitnah syarikat itu dengan membuat aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia. -TMI

Link - http://muslimeen-united.blogspot.com/2011/05/utusan-pecat-presiden-nuj-hata-wahari.html

Semua Turun...Hari 'Marah' Di Masjid Negara..

GOMBAK, 2 Mei: Bertempat di Masid Negara tanggal 6 Mei ini bakal mengukir satu lagi sejarah negara Malaysia moden apabila menjadi medan himpunan rakyat menunjuk rasa pada Hari Amarah Rakyat Malaysia.

Setiausaha Agung Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid (gambar) berkata, 6 Mei ini yang jatuh pada Jumaat menyaksikan himpunan besar-besaran dari semua kalangan rakyat yang mempunyai perasaan marah dan tidak puas dalam banyak perkara. 
 
"Paling kemuncak dalam isu fitnah video seks melibatkan sumpah laknat yang dilakukan oleh salah seorang terlibat, Eskay Abdullah yang menyalahgunakan tindakan itu yang jelas bercanggah dengan syariat agama.

"Mewakili lebih 60 badan-badan Islam dalam negara ini, saya berharap himpunan aman itu berjaya menyatakan hasrat semua pihak yang mempunyai rasa marah dan tidak bersetuju dengan tindakan politik fitnah, keji dan kotor," tegasnya.

Bercakap pada Harakahdaily malam ini, Azmi berkata, selepas menunaikan solat Jumaat, himpunan mendesak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) mengambil tindakan segera terhadap Eskay yang berbuat demikian di dalam sebuah masjid di Sentul, Jumaat lepas.

Dalam isu sama, Azmi yang juga Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras) menyentuh perkara itu dalam Majlis Selamatkan Dewan Bahasa Pustaka (DBP)di Perpustakaan Bandar Dalam, dekat sini, malam tadi.

Azmi bertegas, nampaknya terlalu banyak perlu diselamatkan di negara ini seperti kampung orang Melayu, tanah orang Melayu, aqidah bangsa, Bahasa Melayu dan berbagai lagi.

"Negara kita seperti sedang mengalami konsep pandang ke belakang meskipun yang dilaungkan kepada rakyat adalah pertumbuhan, kemajuan dan pembangunan kebendaan tetapi dalam masa sama, banyak perkara yang hilang," jelasnya.

Mengambil contoh, DBP yang ditegakkan atas keringat, darah dan air mata rakyat, ia bukan sekadar satu lembaga tetapi lahir dari aspirasi bangsa yang luar biasa, kini sudah tidak bermaya lagi dengan hutang ratusan juta.

Lebih menyedihkan, tambahnya, apabila Dewan Bahasa Pustaka kini lebih dikenali dengan Dewan Pusara Bahasa kerana akibat salah urus dan tindakan pihak terbabit campur tangan dalam pentadbirannya, tiada kemajuan bahasa yang dapat dilakukan.

Namun, katanya, apabila ada rakyat bangun menyuarakan bantahan, pihak berkaitan menyifatkan 'ini suara orang gila, mereka yang suka berhimpun di jalan raya dan hanya beremosi'.

Dalam pada itu, tegasnya, tanyalah hati kecil mereka yang berbicara sedemikian rupa, mereka sendiri akan mengakui bahawa gara-gara merekalah rakyat Melayu khususnya, sedang berbicara dalam bahasa bangsat di negara sendiri.

Orang Melayu sedang menagih simpati dan meminta-minta dengan siapa lagi dan memohon pertolongan dan yang lebih parah kerana golongan atasan itu telah mati rasa dan perasaan yang lebih teruk dari mati pucuk. -Harakah

Link - http://muslimeen-united.blogspot.com/2011/05/semua-turunhari-marah-di-masjid-negara.html