KUALA LUMPUR: Tidak ada sebarang masalah bagi orang
Islam untuk mengundi calon bukan Islam pada pilihan raya umum ke-13
(PRU13) nanti jika langkah itu boleh menjuruskan ke arah menegakkan
keadilan dan menghapuskan kezaliman yang berlaku dalam negara ini.
Setiausaha
Dewan Ulama PAS Pusat, Dr Khairuddin Razali berkata para ulama Islam
sepakat bahawa menghapuskan kezaliman adalah wajib, apatah lagi apabila
melibatkan kezaliman dan kemungkaran pemerintah yang diberi amanah
menjaga maslahah rakyat.
Begitu juga menegakkan kerajaan yang
adil lagi berkebajikan adalah wajib. Maka sebarang usaha yang boleh
membawa kepada tertegak perkara yang wajib itu juga menjadi wajib.
"Ia
dijelaskan oleh banyak ayat al Quran dan Hadis. Dalam hadis riwayat
Imam Ahmad baginda menegaskan bahawa pengkhianatan paling besar ialah
pengkhianatan pemerintah orang awam.
"Maka sebarang cara yang
boleh membawa kepada terhapusnya kezaliman perlu diusahakan termasuk
dengan kerjasama antara muslim dan bukan muslim dalam pilihanraya.
Justeru itu mengundi calon pilihanraya bukan Islam yang boleh menyumbang
kepada usaha tersebut tentulah sangat wajar sekali," katanya kepada
Harakahdaily.
Atas tujuan itu juga ujarnya, memilih calon-calon
bukan Islam di kalangan DAP dan PKR yang bekerjasama dengan PAS dalam
konteks PRU13 adalah sangat perlu bagi menyumbang kepada usaha
menggantikan sebuah kerajaan yang gagal melaksanakan amanah pemerintahan
dengan kerajaan baru yang lebih berintegriti.
Apa yang jelas
katanya, kerjasama antara PAS, PKR dan DAP dalam PRU13 adalah bertujuan
menegakkan kerajaan yang adil dan berkebajikan.
Umat Islam yang
sedar tegasnya, tidak akan mudah terpengaruh dengan sentimen kebencian
kepada calon bukan Islam Pakatan Rakyat sehingga melupakan kezaliman dan
kemungkaran pemerintah BN sedia ada sejak puluhan tahun.
"Justeru
rakyat Malaysia wajar sekali memberikan undi yang padu kepada
calon-calon pilihanraya Pakatan Rakyat termasuk kepada calon-calon bukan
Islam," ujar beliau.
Source link - http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/16361-boleh-undi-calon-bukan-islam-dewan-ulama
No comments:
Post a Comment