“Jangan kamu merasa lemah dalam menghadapi lawanmu. Jika kamu menderita sakit, maka sesungguhnya mereka juga menderita sakit sepertimu sedangkan kamu mengharapkan daripada Allah apa yang tidak mereka harapkan” – Surah An-Nisa' : Ayat 104

Tuesday, January 8, 2013

Lawatan MB Selangor Melakar Sejarah di Kampung Sungai Tangkas


Tanggal 6 Januari 2013 merupakan satu hari yang bersejarah buat penduduk Kampung Sungai Tangkas apabila julung-julung kalinya seorang Menteri Besar Selangor membuat lawatan ke kampung tersebut.




Sekitar jam 11.50 pagi, rombongan delegasi Menteri Besar Selangor Y.A.B Tan Sri Dato' Seri Abd Khalid Ibrahim yang diiringi konvoi motosikal berkuasa tinggi dari Kelab Motor Alternative Riding Club (ARC), tiba di perkarangan Surau Al-Hidayah.  Rombongan MB disambut meriah dengan alunan kompang diikuti dengan persembahan silat oleh penduduk sekitar. 



Turut serta bersama MB ialah ADUN Bangi YB Dr. Shafie Abu Bakar, Ahli Parlimen Serdang YB Teo Nie Ching, Ahli Parlimen Hulu Langat YB Dr. Che Rosli Che Mat, ahli-ahli majlis Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan pegawai-pegawai kerajaan negeri Selangor dari Majlis Daerah Hulu Langat, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).



Lawatan MB ini adalah bersempena pembinaan sekolah rendah agama yang tapaknya bersebelahan dengan Surau Al-Hidayah.  Projek yang menelan belanja sebanyak RM5.2 juta untuk pembinaan dua buah bangunan empat tingkat serta sebuah bangunan kantin ini telah diluluskan oleh Kerajaan Selangor pada September 2011 lagi.  Kontraktor bagi pembinaan sekolah ini adalah MAMFOR Construction Sdn Bhd.



MB turut berkenan untuk menyampaikan saguhati kepada penduduk Kampung Sungai Tangkas bagi kategori Anugerah Tokoh Kampung, Anugerah Pelajar Cemerlang, Anugerah Ibu Mithali dan Anugerah Laman Tercantik.
 



Majlis diteruskan dengan makan tengahari bersama MB yang mana hidangan-hidangan tersebut telah disediakan secara gotong-royong oleh penduduk kampung.


No comments:

Post a Comment