KOTA BHARU: Sama juga fardhu wuduk ada enam perkara,
sekiranya tertinggal salah satu maka tidak sah wuduk. Begitu juga tiada
pahala ibadat bagi mereka yang tidak sempurna iman.
Ketua
Dakwah Halaqat Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan, Ustaz Abdullah
Abdul Razak berkata, setiap ibadat ada rukun-rukunnya, sekiranya salah
satu daripadanya diragui maka ibadat akan terjejas.
“Begitu juga apabila ada orang Islam yang tidak yakin atau meragui
hukum hakam ditetapkan Allah SWT maka pegangan Islamnya sudah menjadi
longgar.
“Kita tahu hanya Allah Taala yang memberi pahala atau tidak di atas
setiap amalan kita, namun kalau dilanggar rukun-rukun dalam ibadat maka
amalan kita sudah diragui,” katanya di sini.
Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan hari ini dilapor menyifatkan
kenyataan Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat telah terpesong
daripada ajaran Islam.
Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin mendakwa pandangan yang
sering dilontar Menteri Besar Kelantan itu hanya memecah perpaduan umat
Islam.
Sebelum ini Tuan Guru Nik Abdul Aziz menjelaskan mereka yang menolak
Islam dan mengambil kebangsaan dalam perjuangan, maka amalan seseorang
itu tidak lagi mendapat pahala.
Abdullah yang juga Setiausaha Dewan Ulamak PAS Kelantan berkata,
dalam Islam murtad boleh berlaku melalui salah satu daripada tiga
perkara iaitu perkataan, tingkah laku dan iktiqad.
Misalnya apabila seseorang menghina ajaran Islam, hukum hakam, Nabi
Muhammad saw atau nabi-nabi lain, maka dengan kata-kata sedemikian orang
berkenaan boleh menjadi murtad.
“Sudah banyak nas dalam al Quran dan Hadis menjelaskan isu berkenaan.
Majlis Fatwa tidak sepatutnya menyembunyikan perkasa asas dalam agama.
“Kita tidak perlu melihat jauh, ambil contoh fardhu wuduk sudah
memadai. Kalau kita tertinggal salah satu daripada enam perkara maka
wuduk kita tidak sah.
“Begitu juga ibadat dalam Islam, kalau aqidah kita sudah rosak macam mana hendak dapat pahala,” ujarnya.
link - http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/18192-langgar-rukun-agama-solat-tak-dapat-pahala-ulama
No comments:
Post a Comment