“Jangan kamu merasa lemah dalam menghadapi lawanmu. Jika kamu menderita sakit, maka sesungguhnya mereka juga menderita sakit sepertimu sedangkan kamu mengharapkan daripada Allah apa yang tidak mereka harapkan” – Surah An-Nisa' : Ayat 104

Wednesday, January 16, 2013

MB Selangor: Najib Guna Isu Air Ugut Rakyat Selangor


Kerajaan Negeri kesal dengan kenyataan Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak yang telah menggunakan isu air untuk mengugut rakyat. (Lihat sini)

Ketika rakyat mengadapi masalah bekalan air, Perdana Menteri sepatutnya bekerjasama dengan semua pihak termasuk kerajaan negeri demi memastikan perkara ini tidak berulang.


Sebaliknya, beliau telah mengugut rakyat Selangor bahawa mereka akan terus berhadapan dengan masalah air jika tidak menyokong Barisan Nasional.
Jelas, beliau telah merendahkan martabatnya sebagai Perdana Menteri untuk memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 yang bakal diadakan tidak lama lagi.

Namun, kerajaan negeri percaya rakyat Selangor tahu janji Najib adalah seumpama ‘meludah ke langit’ kerana masalah air ini berpunca daripada kegagalan dasar penswastaan air oleh BN yang memberikan konsesi selama30 tahun kepada syarikat kroni yang tidak berkemampuan.

Jika kerajaan Pakatan Rakyat tidak mengambilalih pada 2008, rakyat Selangor sekarang akan dibebani kenaikan tarif air yang tinggi sebanyak 37% pada 2009, 25% 2012, dan 20% pada 2015.

Kenyataan terbuka Najib ini sudah cukup untuk membuktikan mengapa kerajaan pusat enggan bekerjasama dengan kerajaan Selangor menyelesaikan penstrukturan semula industri perkhidmatan air di Lembah Klang seperti yang dikehendaki Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 yang diluluskan kerajaan Barisan Nasional sendiri.
Ternyata, hasrat mereka bukan untuk menyelesaikan masalah dengan serta merta, tetapi untuk mempolitikkan isu ini dan menggunakannya sebagai bahan tawaran untuk meraih undi.

BN lebih rela membela syarikat kroni konsesi yang ternyata gagal dan cuai dalam mengurus perkhidmatan air daripada memberi kerjasama kepada kerajaan negeri untuk mengambilalih pengurusan perkhidmatan air. Syabas berdepan dengan krisis pengurusan yang boleh membawa masalah besar kepada rakyat jika konsesi ini terus dibenar menguruskan air di Lembah Klang.

Perdana Menteri juga sengaja tidak mahu menyerahkan perkhidmatan air kepada Kerajaan Selangor kerana beliau bimbang Selangor dapat melakukannya dengan lebih cekap dengan kos yang lebih efektif dan sekaligus membuktikan kegagalan BN.

Kita meragui catuan air yang dibuat oleh Syarikat Bekalan Air Selangor SdnBhd (Syabas) dan kita tidak menolak kemungkinan ia sengaja dilakukan untuk menyusahkan rakyat dan menyemaikan perasaan tidak puashati terhadap Pakatan Rakyat.

Kerajaan negeri telah menghantar enam pucuk surat kepada menteri semenjak Julai 2012 bagi menyatakan hasrat kerajaan negeri mengambilalih perkhidmatan air mengikut WSIA namun nampaknya menteri lebih suka berpolitik dari menyelesaikan perkara ini secara waras.

Sikap tidak acuh dan sambil lewa Perdana Menteri terhadap cadangan pengambilalihan air oleh kerajaan Selangor membuktikan beliau dan BN sanggup menggadaikan kebajikan rakyat demi kepentingan politik.

Kerajaan Selangor menggesa kerajaan persekutuan menghentikan amalan mengugut rakyat negeri ini dengan meletakkan keperluan asas kehidupan seperti air sebagai sandaran. Berpolitik secara matang bukannya menzalimi rakyat ala samseng.

TAN SRI ABDUL KHALID IBRAHIM
DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR
14 JANUARI 2013

Source link - http://mb.selangorku.com/page.php?page=Archive&month=2013-1&post=2357

No comments:

Post a Comment