06 Mei 2013 |
DENGAN keputusan PRU13, telah diketahui Pakatan Rakyat tidak sampai ke Putrajaya. Masing-masing terpaksa balik ke pengkalan sendiri untuk memikirkan lain kali pula ke situ.
Sama ada setuju atau tidak setuju dengan keputusan itu tiada apa yang dapat dibuat, kerana sistem pilihanraya demokrasi memperaturkan keputusan itu diterima baik apa jua yang berlaku.
Dengan keputusan itu Putrajaya tidak dapat diambil alih. Kerajaan pusat yang sama dan Perdana Menteri yang sama menyambung tanggungjawabnya.
Dengan ini harga minyak tidak dapat diturunkan dalam masa 24 jam selepas keputusan pillihanraya diketahui. Harga minyak terus seperti biasa. Kerajaan yang ada tidak menjanjikan harganya diturunkan dan tidak pula berjanji ia tidak akan dinaikkan. Rakyat akan menghadapi keadaan yang sama tentang harga minyak dan segala kesannya.
Tiada janji harga barang dapat dikawal.
Negeri yang menghasilkan minyak iaitu Terengganu, Sabah dan Sarawak hilang peluang untuk dapat royalti minyak 20 peratus.
Kelantan yang sedang menuntut haknya atas minyak yang dinafikan sejak sekian lama hilang peluang yang segera untuk menyelesaikan tuntutan itu. Bahkan negeri seperti Terengganu tidak ada jaminan untuk mentadbirkan sendiri royalti lima peratusnya yang dirampas sejak zaman Dr. Mahathir lagi.
Harapan untuk membeli motokar baru yang murah juga hilang. Walaupun BN dalam aku janji manifestonya menjanjikan untuk menurunkan harga motokar yang baru, tetapi ia tidak menjanjikan penghapusan cukai eksais atasnya.
Orang-orang yang menangguh pembelian motokar sejak beberapa bulan dulu kerana menunggu harapan PR sampai ke Putrajaya, terpaksa melupakan harapan itu. Terpaksalah membelinya dengan harga yang biasa.
Orang yang meminjam PTPTN terpaksa melupakan saja harapan ia dimansuhkan dan yang menangguhkan membayarnya dulu beriktiarlah membayarnya.
Ibu bapa yang anak-anaknya yang bakal masuk universiti selepas ini, tak usah memikirkan anak-anaknya akan bebas dari tanggungjawab PTPTN. Rakyat sekarang sudah hilang peluang untuk mendapat pelajaran percuma dari pra sekolah hingga ke universiti.
Ibu bapa yang mahu anak-anaknya masuk ke sekolah agama rakyat dan tahfiz al-Quran terpaksa memikirkan sistem pengajian itu mengikut cara lama iaitu berbelanja sendiri.
Semangat perlembagaan menjanjikan setiap anak yang lahir ada peruntukan pendidikan per kepala. Peruntukan itu akan ikut ke sekolah mana anak itu pergi. Yang memilih belajar di sekolah Tamil dan Cina, ke sekolah itulah duit itu diberi. Tetapi yang pergi ke sekolah agama rakyat seperti pondok dan tahfiz, duit itu tidak mengikut murid itu.
Pakatan Rakyat ada menjanjikan sekolah seperti itu termasuk dalam sistem pelajaran percuma yang dicadangkan.
Harapan untuk bebas tol lebuhraya secara berperingkat-peringkat tidak dinikmati selagi Putrajaya tidak diambil allih oleh Pakatan. Maka sekalian rakyat untuk masa lima tahun akan datang tidak dapat berangan-angan untuk melalui lebuhraya tanpa tol. Tidak diketahui apakah ia akan dikurangkan? Apa pun bersedialah untuk meneruskan mengguna lebuhraya seperti biasa.
Orang-orang yang kena saman ekor, bersedialah untuk membayarnya jika tidak mahu diburu.
Apakah tidak mustahil kerajaan yang menang itu menciplak segala janji manifesto PR? Ia tidak dapat difikirkan kerana ia berkara, melaksanakan janji itu menyebabkan negara bangkrap. Ia tak akan fikirkan hal itu.
Jangan berputus asa. Sebarlah dengan ujian kekalahan itu. Lima tahun lagi akan diteruskan janji itu. Lima tahun tidaklah lama sangat.
source - http://bm.harakahdaily.net/index.php/columnist/subky-latif/19020-apabila-pakatan-tak-sampai-ke-putrajaya#.UYhenElRo2U
No comments:
Post a Comment