KUALA LUMPUR, 21 Mei: PAS sedang mengumpul bukti secara
terperinci berhubung dakwaan terdapatnya penipuan oleh Suruhanjaya
Pilihan Raya Malaysia (SPR) pada Pilihan Raya Umum (PRU13), Mei lalu.
Pengerusi
Lajnah Undang-Undang PAS Pusat, Asmuni Awi berkata, bukti itu perlu
bagi mengemukakan petisyen untuk kerusi Parlimen dan Dun yang dikesan
wujudnya penipuan.
"Kebanyakan kes menunjukkan mahkamah tidak bersedia untuk mengubah peraturan yang ada," katanya kepada Harakah.
Pindaan
terhadap Seksyen 9A Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Pindaan 2002),
ujarnya, menyebabkan daftar pemilih yang digazetkan tidak boleh dibawa
ke mahkamah oleh mana-mana pihak.
Ujarnya, pada 2002 hakim
pernah membatalkan keputusan Pilihan Raya Kecil Dun Likas (Sabah) dengan
alasan daftar pengundi SPR didapati penuh dengan penipuan dan daftar
pemilih tersebut tidak bersih dengan dicampur aduk orang yang tidak
sepatutnya mengundi.
"Apa yang berlaku selepas itu, SPR mengambil
iktibar daripada keputusan mahkamah, undangundang dipinda dengan
Seksyen 9A Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Pindaan 2002) yang
menyebabkan daftar pemilih yang digazetkan tidak boleh dicabar di
mahkamah," jelasnya.
Beliau berkata, kes yang sama berlaku pada
Pilihan Raya Kecil Dun Pengkalan Pasir apabila mahkamah menolak petisyen
PAS walaupun dengan bukti kukuh.
Katanya, beberapa kes ini
membuktikan SPR sendiri tidak suka menerima teguran dan kritikan serta
berselindung di sebalik undang-undang sedia ada.
Asmuni
menegaskan, dalam seksyen yang sama walaupun dibuktikan berlakunya
kesilapan, tapi sekiranya keputusan penyelewengan itu tidak boleh
menjejaskan keputusan pilihan raya, maka penyelewengan itu dikatakan
tetap sah dan tidak boleh dibatalkan.
"Inilah dilema pihak
Pakatan, walaupun penipuan dan penyelewengan wujud tetapi amat sukar
untuk mengemukakan bukti sepenuhnya kerana tidak semua individu terbabit
sanggup menjadi saksi," katanya.
source - http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/19435-spr-berselindung-disebalik-undang-undang-asmuni
No comments:
Post a Comment