“Jangan kamu merasa lemah dalam menghadapi lawanmu. Jika kamu menderita sakit, maka sesungguhnya mereka juga menderita sakit sepertimu sedangkan kamu mengharapkan daripada Allah apa yang tidak mereka harapkan” – Surah An-Nisa' : Ayat 104

Tuesday, May 7, 2013

Pasca PRU-13: Bersedia hadapi gerrymandering

Mohamed Hadi al-Majwi,
Saudara pengarang,

Rasanya cukup-cukuplah pendokong Pakatan Rakyat (PR) berdukacita dengan keputusan pilihan raya umum ke-13 (PRU-13). Betul, sebenarnya PR telah menang undi popular di peringkat parlimen, tetapi kerana kekangan sempadan kawasan-kawasan parlimen, kawasan-kawasan yang dimenangi oleh PR dengan majoriti puluhan ribu undi tidak boleh memberi 'subsidi' kepada kerusi-kerusi yang PR tewas dengan majoriti yang sangat kecil seperti Cameron Highlands, Pasir Gudang, Bentong dan Kuala Selangor.

Parlimen Kapar yang mempunyai 144 ribu pengundi adalah sama ramai komposisinya dengan empat kawasan parlimen di pedalaman yang dimenangi oleh Barisan Nasional (BN). Itulah hakikatnya yang perlu kita telan.

Seruan saya kepada semua pendokong PR, ayuh, hentikan segala kesedihan. Terus mara menuju PRU-14. Kita tidak tahu berapa jangka hayat parlimen kali ini, mungkin sepanjang 5 tahun atau mungkin sesingkat 3 tahun.

Siapa yang menjadi Perdana Menteri pada waktu pembubaran parlimen nanti pun kita belum tahu. Kalau PRU-14 berlangsung pada 2016, bersediakah PR untuk membetulkan segala kelemahan yang ada? Perpecahan dalaman, perbalahan terbuka, kempen yang tidak menyeluruh, dapatkah dibaiki segera?

Saya ingin mengingatkan semua pendokong PR bahawa proses persempadanan semula kawasan pilihan raya mesti dilakukan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada tahun ini juga.

Tempoh masa 10 tahun yang diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan sejak persempadanan terakhir pada tahun 2003 akan tamat tahun ini. Akan selamatkah kerusi-kerusi PR pada PRU-14 nanti?

Seperti yang kita tahu, persempadanan semula kawasan pilihan raya adalah taktik kotor terhormat yang digunakan oleh BN untuk memotong-motong sempadan pilihan raya mengikut manfaat BN.

Pasca PRU pada tahun 1999, kawasan majoriti Melayu telah dipecah-pecahkan komposisinya menjadi kawasan campuran yang dikira akan memberi manfaat kepada BN. (Faktor ini rupa-rupanya menikam BN semula pada PRU 2008 dan 2013).

Kerusi majoriti Melayu di parlimen Yan telah ditambah dengan pengundi Cina setelah Dun Gurun (kerusi campuran) dipindahkan dari parlimen Merbok.

Kerusi majoriti Melayu di Baling juga telah ditambah dengan pengundi Cina setelah Dun Kuala Ketil (kerusi campuran) dipindahkan dari parlimen Padang Serai. Tidak termasuk lagi taktik jijik SPR yang langsung tidak menambah kerusi-kerusi parlimen di negeri-negeri 'Malay belt' iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah sedangkan hampir kesemua negeri menyaksikan pertambahan kerusi parlimen. Taktik kotor terhormat inilah yang lazim disebut sebagai gerrymandering.

Kini, taktik terhormat yang penuh keji ini akan diulang semula. Bersediakah kita menghadapinya? Setelah apa yang berlaku pada PRU-13, adakah BN akan memastikan sempadan pilihan raya dipotong-potong semula untuk memperbanyakkan lagi kerusi majoriti Melayu di luar bandar dan dalam masa yang sama kerusi-kerusi campuran di bandar akan dikekalkan saiz dan kompisisinya untuk mengekang pengaruh PR?

Jangan kita lupa, Seksyen 10, Jadual Ketigabelas Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa perintah persempadanan semula kawasan pilihan raya hanya memerlukan separuh sokongan ahli Dewan Rakyat.

Ini bermakna BN hanya memerlukan 113 ahli parlimen sahaja untuk meluluskan perintah persempedanan semula kawasan pilihan raya untuk PRU-14.

Perkara inilah yang pemimpin dan penyokong PR perlu renungi sedalam-dalamnya. Tidak guna kita kesali "ketidakmenangan" PRU-13 kerana kalau PR menang sekali pun apalah gunanya jika kerajaan yang dibentuk adalah kerajaan yang lemah dari segi bilangan kerusi.

Meminjam kata-kata yang dipetik dari YB Saari Sungib (yang dipetik dari sahabatnya), lebih baik menjadi pembangkang yang kuat daripada menjadi kerajaan yang lemah.

Lakukan segera bedah siasat PRU-13, terus bertindak melawan fitnah perkauman yang dinyalakan oleh BN sekarang. Jika kita sibuk berkabung dan meratap sahaja, kita akan ditinggalkan oleh musuh kita jauh di hadapan.


Sekian, terima kasih.

source - http://bm.harakahdaily.net/index.php/letter/19052-pasca-pru-13-bersedia-hadapi-gerrymandering#.UYj950lRo2U

No comments:

Post a Comment