KUALA LUMPUR, 21 Mei: Biarpun sebelum ini Suruhan Jaya Pilihan
Raya (SPR) bermati-matian menyangkal dakwaan boleh mengundi lebih sekali
ekoran penggunaan dakwat kekal, seorang pemuda di Kuantan semalam
endedahkan bahawa beliau boleh mengundi dua kali.
Mohd
Fadhli Khaharruddin, seperti dilapor Sinar Harian Online, mengaku
keluar mengundi dua kali kerana mahu membuktikan sistem pilihan raya
menggunakan dakwat kekal masih boleh dipertikaikan.
“Saya
mengundi kali pertama jam 10.30 pagi di saluran 4, peti undi Sekolah
Kebangsaan Sungai Isap dan kemudian undi kali kedua pada jam 1.15 petang
di lokasi yang sama,” katanya dipetik akhbar bahasa Melayu versi online
itu.
“Dengan cara mengundi sebanyak dua kali maka saya boleh
membuktikan bahawa sistem pilihan raya masih boleh dipertikaikan,”
katanya lagi.
Bagaimanapun, beliau mendakwa tidak buang undinya
kali kedua, sebaliknya berhasrat menyimpan kertas undi SPR dan nombor
saluran sebagai bukti bahawa prosedur mengundi dengan dakwat kekal
lemah.
Katanya, tindakan untuk keluar mengundi kali kedua
dilakukan tanpa disuruh dan dibayar mana-mana pihak sebaliknya dengan
rela hati berikutan dakwat kekal di jarinya tanggal sepenuhnya apabila
dibasuh selepas undi kali pertama.
Ekoran dakwat kekal yang boleh
tanggal dan terlalu mudah untuk melepasi setiap petugas untuk mengundi
kali kedua itu, beliau membuat satu laporan polis.
Laporan polis itu katanya dibuat supaya tindakan beliau itu tidak ditafsir sebagai mempermainkan sistem pilihan raya.
Tindakan oleh Mohd Fadhli ini sekaligus menguatkan lagi dakwaan
bahawa wujud ruang manipulasi yang mendorong kepada penipuan pada
Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu.
source - http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/19417-pemuda-buktikan-memang-boleh-mengundi-dua-kali
No comments:
Post a Comment