GST - Golongan miskin juga akan membayar cukai sama seperti golongan kaya
Dr Rosli Yaakop, 22 Mei 2013
Kumpulan Kewangan Antarabangsa (IMF) mahu semua negara di dunia
melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (CBP - Goods and Services
Tax) dengan alasan supaya sistem pencukaian menjadi seragam di seluruh
dunia “to create a more level playing field amongst trading nations.”
IMF mendakwa bahawa sistem cukai langsung yang masih diamalkan oleh
banyak negara sedang membangun telah digunakan untuk “menyorokkan” dasar
perlindungan perdagangan yang mereka amalkan. Ia memberi contoh cukai
yang tinggi dikenakan oleh sesetengah negara sedang membangun ke atas
otomobil import telah menghalang pertandingan sihat di dalam industri
otomobil dunia dan memaksa penduduk sesebuah negara sedang membangun
menggunakan kereta keluaran dalam negara sendiri yang bermutu rendah
berbanding kereta import dari negara maju. IMF berpendirian bahawa CBP
pro-perdagangan bebas dan setiap negara – miskin atau kaya - hendaklah
melaksanakannya. Penulis menghidu maksud tersirat dari dasar ini tidak
lain ialah untuk mengekalkan penguasaan blok Barat ke atas ekonomi
dunia.
IMF sudah menggesa Malaysia supaya segera melaksanakan
CBP dan kerajaan sudah bersedia untuk tunduk kepada gesaan itu seawal
tahun 2005 lagi. Ketika membentang Belanjawan 2005, Menteri
Kewangan mengumumkan CBP bakal dilaksanakan di Malaysia berkuatkuasa 1
Januari 2007, menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan yang sedia ada.
Walau bagaimanapun, berikutan penentangan kuat rakyat, maka pada 22
Februari 2006, kerajaan mengumumkan penangguhan.
Selepas lebih
tiga tahun dibekukan, kerajaan menghidupkan semula rancangan untuk
melaksanakan CBP bila mana pada Disember 2009, Bil CBP dibentangkan
untuk pembacaan kali pertama di parlimen diikuti pembacaan kali kedua
pada April 2010. Namun, sehingga sekarang ia belum dilaksanakan, mungkin
kerana kerajaan kurang yakin pelaksanaannya akan diterima baik oleh
rakyat.
Sejak akhir-akhir ini, selepas memenangi Pilihan Raya
Umum Ke tiga belas yang berlangsung pada 5 Mei 2013, sudah ada bayangan
bahawa CBP bakal dilaksanakan dalam masa yang terdekat ini kerana dengan
berbekalkan 133 kerusi parlimen yang dimenangi, kerajaan merasa cukup
yakin bahawa ia sudah mendapat sokongan rakyat terbanyak untuk
melaksanakannya. Sebelum PRU13, kerajaan ini tidak berani untuk
melaksanakan CBP kerana penentangan kuat rakyat boleh diterjemahkan
kepada kekalahan pilihan raya.
Seperti yang bayangkan oleh
Idris Jala, Menteri di Jabatan Perdan Menteri (lihat Business Times, 18
Mei 2013 – “GST can generate RM27b in revenue”), kadar CBP bakal
ditetapkan pada 7 peratus, iaitu, 3 poin peratusan lebih tinggi dari
kadar yang pernah disebut sebelum ini. Pada kadar 7 peratus, dianggarkan
Malaysia akan menjana hasil tambahan sebanyak RM27 bilion. Pernah
disebut oleh Perdana Menteri bahawa hasil yang dijana dari pelaksanaan
CBP akan digunakan untuk menaikkan gaji kakitangan awam dan membina
infrastruktur.
Di bawah sistem CBP semua rakyat - ada
pendapatan mahupun tiada pendapatan - kena membayar cukai, tiada
kecuali, kerana tiada siapa pun di dalam sesebuah ekonomi yang tidak
menggunakan barangan dan perkhidmatan. Orang termiskin di dalam ekonomi
membayar cukai ke atas barangan yang mereka gunakan sama seperti orang
yang terkaya kerana tiada siapa pun yang terlepas dari menggunakan
sesuatu di dalam sesebuah ekonomi.
Dalam sistem pencukaian yang
diamalkan sekarang, hanya individu yang pendapatannya melebihi
“threshold income” yang ditentukan yang membayar cukai. Atas asas ini
dikatakan hanya 1.5 rakyat Malaysia yang membayar cukai kerana
berpendapatan melebihi “threshold income” yang ditentukan. Di bawah CBP,
tiada “threshold income” bermakna, 29 juta rakyat Malaysia kena
menanggung beban cukai. Lagipun, cukai korporat dan cukai pendapatan
individu akan di kurangkan bermakna beban golongan yang membayar cukai
selama ini akan menjadi ringan. Beban itu dipindahkan kepada rakyat
Malaysia yang selama ini tidak pernah membayar cukai.
Golongan
yang tidak membayar cukai sekarang akan membayar cukai bila CBP
dilaksanakan. Kira-kira 32 peratus dari jumlah isi rumah (household) di
Malaysia berpendapatan di bawah RM2,000 sebulan yang tidak membayar
cukai pendapatan. Mereka ini akan menjadi pembayar cukai apabila CBP
dilaksanakan. Mereka membayar cukai atas barang yang tiada dalam senarai
barang dikecualikan di bawah CBP seperti pakaian, permainan
kanak-kanak, makanan yang diproses, makanan dalam tin dan sebagainya
yang mereka gunakkan. Ini bermakna, golongan berpendapatan rendah dan
golongan yang “economically vulnerable” dalam masyarakat terpaksa
menanggung beban cukai.
Ahli ekonomi dan pencukaian mengakui
bahawa CBP adalah satu sistem pencukaian yang “regressive” yang bermakna
ia tidak adil. Semakin rendah pendapatan seseorang maka semakin
besarlah bahagian pendapatannya yang pergi kepada membayar cukai. Atau
kebalikannya: semakin tinggi pendapatan seseorang maka semakin kecillah
bahagian daripada pendapatannya yang pergi kepada membayar cukai. Jelas,
CBP membebankan golongan berpendapatan rendah dan miskin dalam
masyarakat. Hal ini bertentangan dengan ciri sistem pencukaian yang
adil, iaitu, sesuatu sistem cukai yang hendak dilaksanakan perlu
memiliki sifat “progressive.”
IMF mengakui sifat regresif pada
CBP ini dan mencadangkan supaya diwujudkan senarai barangan dan
perkhidmatan bagi menangani kelemahan ini. Secara amnya, barang makanan
asas dan keperluan-keperluan asasi dikeluarkan daripada senarai barangan
dan perkhidmatan yang dikenakan cukai di bawah CBP. Ini masih tidak
memadai untuk mengurangkan sifat regresif itu kerana di bawah CBP, orang
kaya dan orang miskin membayar cukai yang sama kadarnya. Seorang
peminta sedekah apabila membeli sebotol minuman ringan membayar cukai
yang sama seperti yang dibayar oleh seorang taukeh judi yang kaya raya
apabila membeli sebotol minuman ringan yang sama.
Di bawah
CBP, semua orang membayar cukai pada kadar yang sama, tidak kira kaya
atau miskin, walhal sistem pencukaian yang adil menghendakki orang kaya
dan orang yang mampu membayar cukai (berpendapatan melebihi “threshold
income” yang ditentukan) dikenakan cukai supaya hasil cukai dapat
dijadikan alat fiskal yang berkesan untuk mencapai agihan pendapatan dan
kekayaan negara yang lebih merata, adil dan saksama. Sistem cukai yang
progresif juga menjamain bahawa semakin tinggi pendapatan seseorang,
maka semakin tinggilah beban cukai yang ditanggungnya. Oleh itu, CBP
yang bersifat regresif ini hanya akan membebankan rakyat terbanyak dan
melebarkan lagi jurang pendapatan di antara golongan kaya dan miskin.
Memang diakui oleh ahli ekonomi dan pakar pencukaian bahawa CBP adalah
“inflationary.” CBP ialah “consumption tax” dikenakan ke atas kesemua
(kecuali barangan dan perkhidmatan yang dikecualikan) barangan dan
perkhidmatan yang dihasilkan di dalam negera mahupun yang diimport.
Juga, ia adalah “multi-tier stages of tax“ dikenakan ke atas setiap
peringkat pengeluaran sesuatu produk daripada bahan mentah sehinggalah
ke produk siap (finished products). Walau wujud “credit offset
mechanism” di bawah CBP, namun, pada perkiraan mutakhirnya, penggunalah
yang menanggung beban cukai. Misalnya, apabila cukai 7 peratus dikenakan
ke atas perkhidmatan pengangkutan, kos pengangkutan akan naik dan ini
akan membawa kenaikan kepada harga seluruh barangan dan perkhidmatan di
dalam ekonomi termasuk barangan dan perkhidmatan yang dikecualikan
cukai. Akhir, rakyat terbanyak akan menanggung beban kembar “kena bayar
cukai dan kena tanggung inflasi.” Lagi sekali, beban ini mengena lebih
teruk kepada golongan miskin berbanding golongan kaya.
Memang,
dari sudut hasil kerajaan, CPB ada kebaikannya, misalnya, ia
mengurangkan kebergantungan besar ke atas cukai langsung dan cukai
petroleum, menjamin sumber hasil yang lebih stabil bagi kerajaan
berbanding cukai pendapatan dan oleh kerana CBP berasaskan kepada
penggunaan, hasil kurang terjejas oleh kemelesetan ekonomi kerana
apabila ekonomi meleset, penggunaan biasanya mampu bertahan.
Benar, tetapi di bawah kerajaan yang korup, manfaat ini tidak membawa
apa-apa makna kepada rakyat terbanyak. Apakah gunanya hasil yang tinggi
jika sebatang screw driver yang harganya RM25 dibeli melalui tender pada
harga RM200? Apakah manfaatnya kepada rakyat apabila membeli kapal
selam pada harga berkali-kali ganda lebih mahal kerena menteri mahukan
komisyen? Apakah gunanya membina stadium yang mahal tetapi runtuh
atapnya? Perkara yang meruncing di dalam ekonomi Malaysia sekarang ia
menghasilkan pulangan maksimum ke atas setiap ringgit wang rakyat yang
dibelanjakan, bukan memaksa rakyat yang tidak mampu membayar cukai untuk
membayar cukai. Sesungguhnya, CBP adalah cukai yang menzalimi rakyat
berpendapatan rendah dan miskin. Yang beruntung besar adalah orang kaya
dan syarikat multinasional kerana cukai korporat dan cukai pendapatan
direndahkan.
Born in Kampong Kundur, Rembau, Negeri Sembilan in 1952.
Currently he is the CEO of Ahsania-Malaysia Hajj Investment and Finance
Company Limited, Dhaka, Bangladesh.
Obtained his first degree in Economics from UM in 1975. Obtained masters
and PHD in the same field from the University of Wisconsin, USA on BNM
scholarship. He served BNM for 18 years.
Previously served as Senior Vice President, Global Hajj and Umrah
Corporation (Labuan) Limited, CEO, Golden Pharos Berhad, Director,
Islamic Banking Scheme and Special Project, Abrar Discount Berhad, CEO,
Abrar Finance Berhad, part-time lecturer on financial markets and
institutions at the University of Malaya and board member of several
companies.
Areas of expertise included regulation of financial institutions,
formulation and implementation of monetary, fiscal and economic
policies, liquidity management, Islamic banking and finance and
developing business strategies.
Writes regularly on economic issues and presents papers in economic
seminars. Current research interest is on the return of Gold Dinar as
the currency of the Islamic World.
21 July 2007
No comments:
Post a Comment