“Jangan kamu merasa lemah dalam menghadapi lawanmu. Jika kamu menderita sakit, maka sesungguhnya mereka juga menderita sakit sepertimu sedangkan kamu mengharapkan daripada Allah apa yang tidak mereka harapkan” – Surah An-Nisa' : Ayat 104

Thursday, May 9, 2013

DAP sokong Khalid kekal Menteri Besar Selangor

8 May 2013
KUALA LUMPUR, 8 MEI: DAP menyokong Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kekal sebagai Menteri Besar Selangor bagi penggal kedua walaupun DAP dan PAS masing-masing memenangi 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) serta PKR dengan kerusi untuk membolehkan Pakatan Rakyat (PR) kekal memerintah Selangor.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, Tan Sri Khalid Ibrahim patut diiktiraf kerana integriti dan perkhidmatannya yang cemerlang di Selangor.
“Ini telah membolehkan PR bangkit melawan usaha kuat BN yang diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk berusaha untuk merampas kembali Selangor.


“Tan Sri Khalid patut kekal sebagai Menteri Besar setelah berjaya mengetuai PR memenangi dengan majoriti dua pertiga iaitu 44 daripada 56 kerusi DUN Selangor berbanding hanya 36 kerusi pada tahun 2008,” katanya daloam satu kenyataan.

Persoalan mengenai siapakah bakal Menteri Besar Selangor timbul apabila PKR hanya mendapat 14 kerusi DUN berbanding dengan DAP dan PAS yang masing-masing mempunyai 15 kerusi.

PAS juga menyatakan pendiriannya tidak akan menuntut jawatan Menteri Besar Selangor walaupun mereka mempunyai kelebihan satu kerusi berbanding PKR di Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), 5 Mei lalu.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, berkata, demi semangat setia kawan dalam PR bersama PKR dan DAP, PAS menyokong Abdul Khalid kekal sebagai Menteri Besar.

“Kami tidak pernah tuntut, tidak pernah bercadang, malah tidak berhasrat pun ke arah itu. Kita sudah putuskan untuk kekalkan yang sedia ada. Tunggulah dalam masa seminggu ini akan diumumkan,” katanya.

Selain Abdul Khalid, nama Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali turut disebut-sebut mempunyai potensi untuk memimpin negeri terkaya itu.
Bagaimanapun, sehingga kini masih belum pasti mengenai jawatan itu.

Ketua Publisiti DAP, Tony Pua sebelum ini berkata, kemenangan PR di Selangor menunjukkan peningkatan ketara sokongan orang Melayu sehingga menambahkan bilangan kerusi di negeri itu.

Pua berkata, ini membuktikan sokongan Melayu dan India kepada DAP meningkat.

source - http://roketkini.com/2013/05/08/dap-sokong-khalid-kekal-menteri-besar-selangor/

No comments:

Post a Comment