PETALING JAYA 2 FEB : Syarikat Bekalan Air Selangor(Syabas)
memaklumkan Kerajaan Pusat sebenarnya yang tidak membenarkan proses
pengambilalihan konsesi air oleh Kerajaan Negeri.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memberitahu pihaknya
sudah berbincang dengan Syabas mengenai pengambilalihan itu
bagaimanapun, Syabas memaklumkan Kerajaan Pusat sebagai pemegang ‘golden
share’ tidak membenarkan perkara itu dilakukan.
“Kita sudah terangkan salah satu daripada pemilik saham yang
terpenting ialah kementerian kewangan, dia ada golden share, kalau kita
bincang dan tidak berbincang dengan pihak kementerian iaitu Kerajaan
Pusat, maknanya usaha kita terbantut itu sebab yang lepas apabila
berjumpa dengan Syabas untuk mereka terima tawaran kita syabas cakap,
Kerajaan Pusat tidak bagi kelulusan.
“Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin Fah
Kui seharusnya kena terima dan jelaskan kepada saya dalam surat bahawa
Kerajaan Pusat bersetuju dengan penstrukturan ini.
“Kalau tidak ia tidak akan berlaku, tujuan kita nak susun semula air
ini ialah bukan nak naikan harga air tapi nak air diuruskan dengan baik
supaya rakyat tidak akan terbeban dengan kenaikan harga air,” katanya
kepada pemberita selepas merasmikan asrama anak pekerja ladang di
Bangunan Peladang, di sini.
Hadir sama, Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan
Prihatin, Dr Xavier Jayakumar ; Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago
dan Adun Kota Damansara, Dr Nasir Hashim.
Semalam, Chin memaklumkan Kerajaan Persekutuan tidak akan menghalang
Kerajaan Negeri daripada mengawal industri perkhidmatan air negeri itu,
jika semua pihak bersetuju.
Chin mengulas mengenai kenyataan oleh Menteri Besar yang berkata
Kerajaan Negeri sudah memaklumkan kepada kementerian bahawa ia akan
mengambil alih industri perkhidmatan air negeri, jika kementerian tidak
memberi maklum balas kepada surat yang dihantar semalam dalam tempoh 14
hari.
Sementara itu, Charles berkata kenyataan Peter Chin yang memaklumkan
harga air yang murah punca kepada krisis bekalan air terputus berlaku di
negeri Selangor baru-baru ini sebagai satu pandangan yang lemah.
Katanya, jika mengikut konsesi yang ditandatangani oleh Syabas dan
Kerajaan Negeri sebelum ini, akan menjadikan harga air naik dan lebih
tinggi daripada harga minyak seterusnya akan membebankan rakyat.
“Oleh itu, kita mahu Kerajaan Negeri ambil alih industri air. Begitu
juga dengan kenyataan beliau (Peter) yang dikatakan tidak menghalang
pengambilalihan air, Peter sebenarnya tidak ikhlas, beliau hanya bermain
politik kerana takut dengan Umno.
Beliau menambah, pihaknya menghantar surat kepada Peter dan
Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) minggu lalu untuk menyediakan
satu rangka kerja dan pelan bagi mengatasi masalah air ketika Tahun
Baru Cina ini.
“Sebab sebelum ini, Syabas ada beritahu masalah air akan dipanjangkan
semasa Tahun Baru Cina ini, jadi kita tidak mahu susahkan rakyat, namun
sehingga kini, tiada maklum balas,” katanya.
Source - http://www.selangorku.com/?p=22449