Friday, March 15, 2013
Hasutan Melampau: Polis Dan SPR Digesa Ambil Tindakan Terhadap Muhyiddin
SHAH ALAM 14 MAC : Polis serta Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) digesa mengambil tindakan tegas terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana melemparkan fitnah yang menuduh Pakatan Rakyat (PR) berusaha menggagalkan PRU-13 dengan mewujudkan keadaan porak-peranda.
Ketua Penerangan PAS, Riduan Mohd Nor berkata, tuduhan Timbalan Perdana Menteri itu terlalu berat serta berunsur hasutan bagi menimbulkan ketegangan serta kegelisahan dalam masyarakat.
Sebelum ini, Muhyiddin di Majlis Perletakan Batu Asas Kilang Baru Perodua di Hulu Selangor berkata, pakatan pembangkang akan menimbulkan huru-hara pada hari mengundi dan akan menuduh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak bersih.
Katanya, pembangkang bertindak demikian kerana mereka semakin bimbang dengan kebangkitan rakyat menyokong Barisan Nasional (BN).
Beliau juga berkata, kerajaan mempunyai maklumat mengenai perkara berkenaan dengan mendakwa pembangkang merancang sesuatu untuk membuatkan suasana porak-peranda.
“Sebagai pemimpin nombor dua negara, kenyataan beliau boleh mencetuskan suasana panik dan penafsiran yang pelbagai daripada kalangan masyarakat.
“Apakah TPM tidak berfikir dahulu sebelum bercakap dengan memikirkan implikasi yang mungkin akan diterima terhadap masyarakat, khususnya pemimpin Pakatan Rakyat daripada ucapan beliau,” kata Riduan dalam kenyataan media.
Kata Riduan, dalam keadaan negara sedang diancam dengan masalah keganasan serta pencerobohan di Lahad Datu dan Sabah umumnya, TPM sengaja menambah marakkan lagi api permusuhan serta sindrom ketakutan kepada rakyat.
“Beliau juga menghina jutaan rakyat negara ini untuk memilih pemimpin dan parti politik pilihan mereka dengan kenyataan sedemikian.
“Sekiranya benar beliau mendapat maklumat tersebut melalui dokumen yang boleh dipercayai seperti dakwaannya, pemuda PAS mencabar TPM untuk mendedahkan butiran dokumen tersebut,” katanya.
Ujarnya, sekiranya Muhyiddin gagal mengemukakan bukti tersebut, Pemuda PAS tidak teragak-agak untuk mendesak pemimpin PR mengemukakan saman fitnah terhadap beliau.
Sementara itu, Pengarah Propaganda Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Edy Noor Reduan berkata, kenyataan tersebut adalah ‘songsang’ dan menggambarkan seolah-olah TPM sedang bercakap di depan cermin.
“Rakyat tahu siapa yang merancang untuk menggagalkan pilihanraya, malah setakat ini pihak yang sama dengan sengaja telah melewat-lewatkan pilihanraya.
“Serangan cat, baling batu, baling telur, semua dilakukan Umno kerana gementar kehilangan besar sokongan rakyat.
“Rata-rata pemimpin Umno yang terlibat pelbagai skandal, bakal ke penjara jika Umno tewas di Putrajaya, yang mana ia seharusnya menimbulkan panik,” katanya.
Baru-baru ini di Bukit Katil, Melaka, bas Jelajah Merdeka Rakyat yang membawa penceramah Pakatan Rakyat dibaling dengan batu sehingga pecah cermin. Ia merupakan insiden kedua di Melaka bas itu diserang and ke-enam semenjak jelajah itu dimulakan pada September tahun lepas.
Source - http://www.selangorku.com/?p=24220
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment