Fitnah adalah salah satu malapetaka yang membinasakan umat manusia. Sememangnya Islam memberi perhatian serius terhadap bahaya fitnah sehingga disebut implikasinya lebih buruk dari membunuh. Fitnah secara umumnya adalah pencetus sengketa justeru ia sering membabitkan tuduhan tanpa bukti, pra sangka tanpa asas dan persepsi yang salah. Malah fitnah sering beriringan dengan dendam atau sekurang-kurangnya rasa tidak puas hati terhadap pihak yang lain.
Fitnah juga seperti harimau yang sedang tidur. Sesiapa sahaja yang mengejutkannya daripada tidur yang nyenyak hanya membuatkan harimau itu bingkas bangun dan menerkam. Sedikit sahaja percubaan meniup api fitnah, ia akan menyala dan menyambar.
Fitnah juga boleh tercetus dalam pelbagai situasi juga dari aneka posisi. Lantaran itu, berhati-hatilah kerana fitnah adalah agenda syaitan yang pastinya ingin melihat umat manusia berantakan sesama sendiri.
Hari ini fitnah masih dikenali sebagai senjata paling tua ia terus digunakan secara berleluasa di sepanjang zaman. Isteri Nabi S.A.W, 'Aisyah turut pernah difitnah dan dituduh berzina dengan Sofwan bin Mu'attal al Sulami. Plot cerita yang disusun rancang oleh Abdullah bin Ubai bin Salul cukup meyakinkan sehingga sebahagian sahabat Rasulullah S.A.W mencadangkan agar Nabi menceraikan 'Aisyah sementara sebahagian yang lain mempertahankannya. Nabi S.A.W diam tidak terkata, tambahan pula wahyu terhenti kira-kira sebulan lamanya. Sehinggalah akhirnya turun wahyu membebaskan keluarga Rasulullah S.A.W dari belenggu fitnah yang direka.
Allah Taala berfirman di dalam surah an Nuur ayat 11 :
Melalui sejarah tamadun moden hari ini juga dapat disaksikan bagaimana kuasa manusia di dunia ini, biarpun mereka telah memiliki peluru berpandu, jet pejuang, kereta perisai, bom nuklear dan 1001 jenis senjata canggih termasuk pesawat tanpa pemandu, namun mereka tetap menggunakan senjata tanpa nombor siri (fitnah) ini untuk menjatuhkan lawan mereka samaada musuh mereka dalam persaingan ekonomi atau musuh mereka dalam pertembungan politik.
Umumnya objektif pelaku dan penyebar fitnah adalah untuk menolak kebenaran yang gagal disangkal dengan hujjah mereka. Fitnah menjadi senjata yang paling murah dan mudah dihasilkan untuk memerangi kebenaran. Ia juga adalah senjata yang digunakan sejak berzaman termasuk untuk menolak kebenaran yang diperjuangkan oleh Nabi S.A.W. Firman Allah Taala :
"Sesungguhnya mereka telah lakukan fitnah semenjak dahulu lagi, dan mereka merancangkan terhadapmu (wahai Muhammad) berbagai tipu daya, sehingga datanglah kebenaran, dan nyatalah (kemenangan) agama Allah (Islam), sedang mereka benci kepada kebenaran." (At Taubah:48)
Sifat Orang Mukmin Menghadapi Angkara Fitnah
Sebagai insan yang beriman dan bertaqwa kepada Allah, selayaknya kita menjauhkan diri, malah memerangi perbuatan fitnah agar ia tidak menjadi amalan yang berleluasa dikalangan masyarakat di dalam negara kita.
Semoga kita dipelihara oleh Allah Taala daripada kebinasaan ini. Jauhi fitnah malah jangan sekali-kali berjinak-jinak dengan amalan memfitnah. Jika ingin membuat tuduhan, pastikan ada bukti yang kukuh dan jelas. Kerana setiap tuduhan mestilah diakhiri dengan hukuman, bukannya dijaja untuk menjatuhkan maruah yang tertuduh. Jika mahu mengandai atau menyangka, pastikan andaian atau sangkaan itu baik. Jika mahu membentuk persepsi, bentuklah persepsi yang tepat dan benar.
Terlebih wajar sikap itu diambil tatkala kita berhadapan dengan sahabat seperjuangan. Meskipun wujud perbezaan pandangan dan kelainan tindakan di kalangan anggota jamaah, ia tidak menghalalkan kita mencetus dan menabur fitnah. Fitnah yang dicetus samalah kita menikam dan membunuh sahabat seperjuangan kita bahkan kesannya lebih kejam.
Mengelak agar fitnah tidak terus subur menjadi tanggungjawab kita semua dengan memastikan diri kita tidak bercakap dan mengulas dalam perkara yang kita tidak tahu hujung pangkal atau jangan sekali-kali membentuk sikap dan fikiran semata-mata mendengar dari satu pihak tanpa menilai dengan adil dan memberi peluang kepada pihak lain pula.
Padam segera api fitnah dan padam juga semangat dendam yang membara. Tiada siapa yang boleh mengaut keuntungan apabila fitnah ini merebak, sebaliknya jamaah akan binasa, anggota jamaah akan berpecah, masa depan perjuangan menjadi suram dan Allah Taala akan murka.
Atas nama Allah kita bersyahadah, kitab suci al Quran menjadi rujukan bersama dan mendaulatkan Islam adalah matlamat kita, maka saya menyeru semua pihak agar kita bertaut kembali di atas nokhtah yang sama ini. Tiada yang membezakan kita dan tiada siapa yang boleh menjarakkan kita kecuali kita sengaja melakukannya atau kita sengaja membuka ruang kepada ejen-ejen musuh untuk menyelinap masuk merosakkan jamaah dari dalam.
Marilah kita menghayati kembali ruh berjamaah yang berpaksi di atas semangat ukhuwwah fillah yang utuh lagi intim. Jangan pula kita seronok melihat jamaah retak dan hubungan kita rosak. Mungkin banyak perkara terpaksa kita korbankan khasnya perasaan kita agar jamaah dan ukhuwwah kita kembali pulih malah lebih baik dari sebelumnya. Ia tidak mustahil dan kita boleh melakukannya demi Islam.
Nasihat Kepada Pemerintah
Nasihat saya juga kepada mereka yang berkuasa dan mengelola kuasa media agar memberi perhatian serius terhadap perkara ini. Jangan sekali-kali membenarkan fitnah menjadi amalan dalam politik kita. Kerana politik sedemikian hanyalah politik kotor lagi jijik pula berdepan dengan kemurkaan Allah Taala.
Insya Allah bagi pihak saya, segigihnya saya mahu membina para pemuda PAS agar mewarnai perjuangan suci untuk menegakkan Islam di atas tanahair ini dengan membentuk medan politik yang disinari hidayah atau petunjuk Allah Azza wa Jalla. Sebagaimana kita tidak mahu orang lain memfitnah maka demikianlah kita tidak mahu kita turut terjebak dalam budaya fitnah. Justeru kita mesti mulakan dari diri kita dan parti kita.
Namun, tidak bermakna PAS dan para pemudanya akan diam membenarkan segala kemungkaran dan kefasadan yang berlaku di pentas politik tanahair. Membongkar penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa yang dilakukan oleh kerajaan yang memerintah selaku pemegang amanah rakyat mestilah dilaksanakan asal sahaja ia bertunjangkan bukti yang kukuh, maka ia bukan fitnah malah ia adalah satu kewajipan.
Semoga budaya intelektual sebegini akan terus subur sehingga meletakkan kita semua sebati dengan tindakan berasaskan hujjah dan fakta bukan fitnah dan tohmah. Jika ada pertuduhan, silakan namun lampirkan bukti yang benar. Sejurus bukti dikemukakan, pihak berwajib bertindaklah sewajarnya, jangan membuat pendakwaan terpilih berasaskan kecenderungan dan kepentingan pihak tertentu.
Marilah kita berdoa kepada Allah Taala agar menghindarkan diri kita daripada menjadi mangsa fitnah dan dalam masa yang sama, kita juga berdoa agar kita tidak memfitnah orang lain. Sungguhpun antara kita berbeza fahaman politik, namun berpolitiklah dalam batas yang tidak mengundang kemurkaan Allah. Berpolitiklah dalam suasana yang sihat dan saling berlumba untuk berkhidmat kepada rakyat dan negara. Berpolitiklah dengan maksud untuk membebaskan rakyat dan negara dari kemungkaran, penyelewengan, rasuah, penyalahgunaan kuasa dan penindasan.
Berpolitiklah untuk mencari redha dari Allah Taala, bukan dengan cara menyuburkan budaya fitnah menjatuhkan pihak lawan.
No comments:
Post a Comment