Sejak tempoh beberapa bulan menghampiri Pilihan Raya Umum ke-13, BERSIH
2.0 berasa cemas apabila menyaksikan peningkatan mendadak
insiden-insiden yang berkaitan dengan keganasan dalam berpolitik.
Keganasan-keganasan ini termasuklah dari gangguan di majlis-majlis
ceramah sehingga ke serangan fizikal yang dilakukan oleh
individu-individu yang mempunyai kaitan dengan parti-parti politik.
Jelas, kejadian-kejadian ini tidak lagi boleh dianggap sebagai kejadian
terpencil sebaliknya adalah sebahagian daripada trend yang lebih besar
di mana keganasan telah dijadikan senjata politik yang utama.
Sejak dari Januari 2013, berikut adalah beberapa insiden keganasan yang pernah dilaporkan melalui media:
Pada 4 Februari di Hulu Selangor, Selangor, sekumpulan individu yang
didakwa sebagai ahli PERKASA dan penyokong UMNO telah mengganggu sebuah
majlis ceramah yang diadakan oleh Persatuan Anak Peneroka Felda (Anak).
Kumpulan tersebut telah melakukan serangan fizikal ke atas beberapa ahli
Unit Amal PAS dan mengadakan sekatan jalan untuk menghalang orang ramai
dari mengunjungi ceramah yang diadakan.
Pada 12 Februari di Pekan, Pahang, 16 orang individu telah melakukan
serangan fizikal ke atas ahli-ahli Gerakan Mahasiswa PRU13 (GM13) yang
sedang mengedarkan risalah kepada orang awam. Pengerusi GM13, Syis Abdul
Kadir mendakwa bahawa sebahagian dari penyerang terbabit telah dilihat
keluar dari Bangunan Pejabat UMNO Pekan sebelum kejadian tersebut
berlaku.
Pada 20 Februari di Sembrong, Johor, beberapa individu yang didakwa
sebagai ahli UMNO telah mengganggu sebuah ceramah yang melibatkan Anwar
Ibrahim di pejabat PKR di situ dengan membaling batu, kayu, dan mercun.
Mereka turut menyerang kenderaan beliau, mencerca dengan bahasa kesat,
serta mengganggu ucapan beliau dengan bunyi bising dari hon dan enjin
motosikal.
Pada 26 Februari di Gambang, Pahang, sekumpulan individu yang
didakwa sebagai penyokong UMNO telah mengganggu sebuah majlis ceramah
Pakatan di Felda Lepar Hilir 1 dan membuat cubaan serangan fizikal ke
atas Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar. Mereka turut menggunakan
bahasa kesat ke atas beliau. Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik
Ahmad mendakwa bahawa pemimpin PKR tempatan telah menerima ugutan
melalui SMS sebelum kejadian tersebut.
Pada 3 Mac di Teluk Intan, Perak, sekumpulan individu telah
menyerang sebuah majlis ceramah oleh YB M. Manogaran dengan menggunakan
bahasa kesat ke atas beliau dan akhirnya memaksa beliau untuk keluar
dari majlis tersebut dengan diiringi pegawai polis.
Pada 7 Mac di Bukit Katil, Melaka, sekumpulan individu yang
didakwa sebagai penyokong UMNO telah menyerang bas “Jelajah Merdeka
Rakyat” dalam sebuah program ceramah di sana dengan membaling batu dan
objek-objek lain yang telah menyebabkan kecederaan kepada dua orang
anggota polis, beberapa orang awam, dan kerosakan serius ke atas bas
tersebut.
Pada 15 Mac di Pulau Pinang, beberapa individu yang didakwa
sebagai ahli kepada beberapa pertubuhan pelampau kanan telah menyerang
kenderaan yang dinaiki Naib Presiden PKR, Tian Chua. Mereka bertindak
menendang dan menumbuk kenderaan tersebut, serta membaling topi keledar
dan botol air ke arahnya. Mereka turut mengancam dan menakut-nakutkan
orang awam yang hadir di majlis yang melibatkan Tian Chua tersebut.
Pada 16 Mac di Pulau Pinang, individu tidak dikenali telah
membaling batu ke arah Ibu Pejabat Parti Gerakan Pulau Pinang yang
menyebabkan kerosakan ke atas bangunan tersebut.
Pada 17 Mac di Penanti, Pulau Pinang, sekumpulan individu yang
didakwa sebagai penyokong PKR dan penduduk kampung tersebut telah
membaling telur ke arah pengunjung ceramah pro-Barisan Nasional yang
diadakan di sebuah sekolah awam dan turut menggunakan bahasa kesat ke
arah pengunjung majlis tersebut.
Menggunakan keganasan sebagai alat politik adalah sebahagian dari
amalan politik kotor. BERSIH 2.0 kesal dengan sikap pemimpin politik
yang membiarkan keganasan ini dengan memberi alasan untuk melindungi
penyerang atau sengaja mendiamkan diri. Kami mengingatkan semua pihak
bahawa keganasan politik adalah pencabulan hak buat bukan sahaja calon
yang bakal bertanding, sebaliknya juga bakal-bakal pengundi. Keganasan
politik sebegini boleh menjejaskan pengundi dari membuat pilihan yang
bebas dan adil. Jika tidak dibendung, ia dikhuatiri akan sebati dan
diterima sebagai amalan biasa dalam politik arus perdana yang akhirnya
merosakkan proses demokrasi dalam negara ini.
Berhadapan dengan situasi insiden-insiden keganasan politik yang
semakin meningkat ini, BERSIH 2.0 akan melancarkan kempen “Tolak
Keganasan Politik”, yang disasarkan ke arah calon-calon pilihan raya,
parti-parti politik, dan masyarakat awam.
Dalam minggu yang akan datang, kami akan melancarkan tatacara
kelakuan untuk calon-calon yang bakal bertanding dalam Pilihan Raya ke
13. Tatacara kelakuan ini digariskan berdasarkan piawai antarabangsa
yang diterima pakai termasuk oleh Inter-Parliamentary Union yang turut
dianggotai oleh Malaysia sejak 1967. Kami menggesa kesemua calon dan
pemimpin parti-parti politik untuk menunjukkan komitmen mereka terhadap
pilihan raya yang bersih dan adil dengan mengecam keganasan politik
secara terbuka dan menyatakan sokongan kepada tatacara kelakuan yang
akan dilancarkan nanti.
Dan yang paling utama, BERSIH 2.0 juga menggesa rakyat Malaysia untuk
menunjukkan bantahan ke atas keganasan politik dengan menolak ahli-ahli
politik yang melindungi pelakuan ganas atau berdiam diri mengenainya.
Kami juga menggalakkan rakyat Malaysia untuk menulis surat kepada
bakal-bakal calon yang akan bertanding di kawasan masing-masing supaya
menyokong tatacara kelakuan yang akan dilancarkan.
Pilihan raya tanpa keganasan adalah hak anda.
Link - http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/17648-pilihan-raya-tanpa-keganasan-adalah-hak-anda
No comments:
Post a Comment