SHAH ALAM, 28 FEB : Empat syarikat konsesi yang mengurus industri air
di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya mula memberi respon positif
terhadap tawaran RM9.65 bilion oleh Kerajaan Negeri bagi mengambil alih
operasi mereka, kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Menurutnya, keempat-empat syarikat konsesi itu telah memberi surat
maklumbalas kepada Kerajaan Negeri dan ia disifatkan sebagai satu
petanda baik terhadap urusan pengambilalihan industri air di Selangor.
Bagaimanapun katanya, pengumuman rasmi berhubung perkara itu hanya akan dimaklumkan lebih lanjut mulai esok.
“Selama ini Kerajaan Pusat menganggap semua syarikat konsesi akan
menolak tawaran yang diberikan oleh Kerajaan Negeri, tetapi apa yang
terjadi kini sebaliknya.
“Kerajaan Negeri akan menulis surat kepada syarikat konsesi berkenaan
untuk memberi penerangan lanjut berhubung proses pengambil alihan ini,
di mana ia akan dijalankan secara berperingkat.
“Ia sekaligus menunjukkan Kerajaan Negeri tahu apa yang dilakukan
demi kepentingan rakyat, ini pertama kali syarikat konsesi memberi
respon kepada Kerajaan Negeri.
“Ia satu petanda baik,” katanya kepada TVSelangor dalam satu temubual eksklusif di pejabatnya di Bangunan SUK, pagi tadi.
Tambahnya, sekiranya keempat-empat syarikat konsesi itu menerima
tawaran Kerajaan Negeri, maka Kerajaan Pusat tidak mempunyai sebarang
alasan untuk menentang keputusan Kerajaan Negeri mengambil alih operasi
air.
Beliau turut mengulangi pendirian untuk terus mempertahankan hak air
demi kepentingan rakyat dan memastikan pengguna mendapat bekalan air
yang berterusan dan pada harga yang berpatutan.
“Kalaulah Pakatan Rakyat (PR) tidak menang pada Pilihan Raya Umum
ke-12 (PRU-12), tarif air di negeri Selangor sudah meningkat hampir 70
peratus dan kalau negeri ini masih ditadbir Umno-BN, saya percaya
Menteri Besarnya tidak akan berani langsung menahan kenaikan air.
“Tetapi di bawah Kerajaan PR, kita sudah tunaikan janji untuk tidak menaikkan tarif air,” katanya lagi.
Terdahulu, Kerajaan Negeri mengumumkan tawaran RM 9.65 bilion kepada empat syarikat konsensi untuk ambilalih operasi mereka.
Empat syarikat tersebut adalah Syarikat Bekalan Air Selangor
(Syabas), Puncak Niaga Sdn Bhd, Konsortium Abbas Sdn Bhd (Abbas) dan
Syarikat Pengeluar Air Selangor Holding (Splash).
Tawaran itu memberi pulangan yang lebih kepada pemegang ekuiti
empat-empat syarikat tersebut berbanding pulangan pada masa kini yang
hanya enam peratus setahun.
Sekiranya tawaran tersebut diterima, Kerajaan Negeri akan mengurus
seluruh sistem bekalan air terawat yang selama ini dilanda masalah air
hilang yang agak tiggi, gangguan bekalan dan kenaikan harga yang tidak
munasabah.
Source - http://www.selangorku.com/?p=23543
No comments:
Post a Comment