SHAH ALAM 7 MAC : Kerajaan Negeri bersedia mengambilalih Syarikat
Bekalan Air Selangor (Syabas) terlebih dahulu sebelum meneruskan
mengambil alih syarikat konsesi yang lain.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, tindakan
tersebut dilakukan kerana Syabas merupakan pengedar tunggal bekalan air
bersih di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
“Demi kepentingan rakyat, Kerajaan Negeri sedia mempertimbangkan
untuk terlebih dahulu mengambil alih Syabas yang merupakan pengedar
tunggal bekalan air bersih di Selangor serta Wilayah Persekutuan Kuala
Lumpur dan Putrajaya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Oleh itu, Kerajaan Negeri meminta anak syarikatnya Kumpulan Darul
Ehsan Berhad (KDEB) untuk mempertimbangkan pengambilalihan berkenaan.
Menurut Abdul Khalid, KDEB akan menjadi pemegang saham terbesar jika
berjaya mengambil alih pengurusan syarikat konsesi yang lain iaitu
Syarikat Pengeluar Air Selangor (SPLASH) dan Konsortium ABASS Sdn Bhd
(ABASS).
Sehingga kini, KDEB hanya memiliki 30 peratus pegangan saham di dalam
Syabas dan ini terhad kepada perwakilan dalam lembaga pengarahnya
sahaja.
Abdul Khalid berkata, pengambilalihan Puncak Niaga Sdn Bhd bergantung
kepada persetujuan KDEB dengan pemegang saham terbesar sekarang, Puncak
Niaga Holdings Berhad.
Dalam pada itu, KDEB memulakan perbincangan dengan Perbadanan Aset Air Berhad (PAAB) mengenai pelupusan aset air dan liabiliti.
Sebelum ini, Kerajaan Negeri mengumumkan tawaran RM 9.65 bilion kepada empat syarikat konsensi untuk ambilalih operasi mereka.
Keempat-empat syarikat konsesi tersebut memberikan respon positif terhadap tawaran yang dikemukakan itu.
Source - http://www.selangorku.com/?p=23904
No comments:
Post a Comment