KUALA LUMPUR, 4 MAC: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) gagal mengikis
tanggapan umum bahawa ia bebas dari pengaruh mana-mana parti politik dan
tidak berat sebelah.
Ini disebabkan beberapa kenyataan SPR sebelum ini yang membuktikan
bahawa badan itu tidak bersikap adil kepada semua parti politik dan
menguntungkan Umno-BN.
Menurut Pengerusi Bersama NGO Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil
(BERSIH 2.0), Datuk Ambiga Sreenevasan, semua parti politik haruslah
diberikan layanan sama rata.
“Masalahnya sekarang pihak yang diberi tanggungjawab ini SPR adalah sebuah badan yang semakin hilang kepercayaan rakyat.
“Begitu juga dengan kebebasan media untuk pembangkang, ianya bagaikan satu gurauan.
“Dakwaan mereka kononnya negara ini amalkan kebebasan media adalah
satu penghinaan kepada kebijaksanaan rakyat,” kata Ambiga dalam
Persidangan Antarabangsa Pilihan Raya Umum Ke-13 Malaysia hari ini.
Ambiga juga melahirkan rasa kesal apabila SPR tahun lalu mengeluarkan
kenyataan kononnya tidak mempunyai masa mencukupi untuk membersihkan
daftar pemilih.
“Mereka cakap tidak cukup masa, sampai sekarang dah 10 bulan berlalu, apa yang mereka buat?”
Sementara itu, Ambiga turut berkata BERSIH 2.0 akan menggerakkan
kira-kira 10,000 sukarelawan pemantau bagi memantau dalam PRU-13 nanti.
Persidangan Antarabangsa Pilihan Raya Umum Ke-13 Malaysia merupakan
persidangan yang dianjurkan Pejabat Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar
Ibrahim.
Persidangan yang asalnya dirancang diadakan di bangunan parlimen itu
dipindahkan ke Kelab Taman Perdana Diraja disebabkan tidak mendapat
kebenaran Yang di-Pertua Dewan Rakyat Malaysia, Tan Sri Pandikar Amin
Mulia.
Persidangan yang diadakan dua hari itu turut dihadiri panelis yang
terdiri pelbagai latar belakang politik, pertubuhan dan wakil
antarabangsa.
Source - http://www.selangorku.com/?p=23724
No comments:
Post a Comment