“Jangan kamu merasa lemah dalam menghadapi lawanmu. Jika kamu menderita sakit, maka sesungguhnya mereka juga menderita sakit sepertimu sedangkan kamu mengharapkan daripada Allah apa yang tidak mereka harapkan” – Surah An-Nisa' : Ayat 104

Thursday, May 23, 2013

36 keluarga tunggu masa rumah diroboh

Laporan khas Anis Nazri, 22 Mei 2013


(Papan tanda Kampung Serai Wangi yang terletak dekat dengan Puncak Alam)

PUNCAK ALAM: 36 keluarga yang mendiami Kampung Serai Wangi dan Desa Pengasih dekat sini bakal kehilangan tempat berteduh apabila mereka diarahkan untuk mengosongkan tanah yang diterokai sejak 20 tahun lalu.

Perintah pengosongan tanah itu akan berakhir tujuh hari sahaja lagi, iaitu pada 28 Mei ini - yang dianggap satu tarikh yang begitu menyedihkan dan mengecewakan bagi mereka.

Biarpun bersedia mengosongkan kampung tersebut, rata-rata penduduk mengharapkan pihak berwajib dapat menyediakan satu penempatan lain bagi mereka meneruskan kelangsungan hidup.

Kampung Serai Wangi adalah kampung tradisi Melayu manakala Desa Pengasih adalah perkampungan yang dibina oleh sebuah NGO untuk menangani orang yang bermasalah termasuk penagihan dadah dan sebagainya.


"Kami tidak menentang pembangunan yang ingin dilakukan di kawasan ini, tetapi janganlah halau kami seolah-olah kami bukan manusia.  Sediakanlah rumah untuk kami berteduh," luah seorang penduduk, Robaiah Abdul Rahman, 56 (gambar kiri) ketika ditemui krew Harakahdaily, semalam.

Menurut Robaiah, yang lebih mesra dipanggil Cik Yah, beliau dan penduduk kampung sudah mula menetap di situ sejak 1989 lagi, dengan mengusahakan tanah yang ada untuk bercucuk-tanam seperti nanas, ubi, kelapa, manggis, rambutan, limau kasturi, longan dan durian.

Katanya, pihak yang berkenaan perlu mengambilkira segala titik peluh yang dicurahkan beliau dan penduduk kampung yang menerokai kawasan ini dengan memberikan tempat berteduh kepada mereka agar tidak merempat di negara sendiri.

"Kami dahulu bergotong-royong mengerjakan kawasan ini, dari kawasan hutan menjadi tempat berteduh dan sumber pendapatan kami.  Jalan yang dahulunya denai, kami besarkan sedikit demi sedikit bersama-sama hingga menjadi laluan tanah merah yang membolehkan kami berulang-alik.

"Kenapa waktu berhutan dahulu, tidak sibuk-sibuk mahukan tanah ini? Kenapa apabila sudah ada jalan merah ini, dah 'terang' sikit hutan ini, baru senang-senang hendak ambil (tanah) daripada kami?" soal Cik Yah, penuh emosi.

Kekecewaan Cik Yah turut dikongsi bersama seorang lagi penduduk, Norizan Ni'mat, 51 apabila memikirkan nasib beliau dan penduduk lain menjelang 28 Mei ini.

Katanya, dalam kesuntukan masa yang ada, beliau buntu untuk melakukan sebarang tindakan kerana wakil penduduk yang dahulunya dilantik bersama, kini hanya mendiamkan diri.

"Saya tidak tahu apa yang boleh dilakukan lagi dalam tempoh terdekat ini.  Apa yang saya harapkan pihak yang berkenaan, sama ada pemilik tanah ini atau kerajaan negeri Selangor, khususnya memberikan kami rumah atau satu kawasan penempatan untuk kami diami.

"Kami tiada masalah untuk berpindah, tapi sediakan kami satu kawasan penempatan. Tetapi kami tidak mahu pangsapuri, kami mahu rumah yang bertanah. Itu sahaja permintaan kami," luah Norizan.

Selain memohon ehsan kerajaan negeri untuk menyediakan penempatan bagi semua penduduk kampung tersebut, Norizan turut mengharapkan kerajaan negeri melihat semula proses penjualan dan pemilikan tanah tersebut agar tidak sampai menafikan hak mereka.

"Kami dimaklumkan Sultan Selangor, dan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim maklum tentang keadaan kami ini.  Sejauh mana ia benar, saya tidak pasti kerana ketika itu wakil kami yang mengurusnya.  Tapi, hari ini nampaknya seolah-olah baginda dan menteri besar macam tidak tahu (mengenainya)," keluh Norizan lagi, yang turut ditemani anaknya, Nurkhairunnisa, 21, bapa saudaranya, Hamzah Singah, 63, dan emak saudaranya, Norhayati Mohd Nor, 55 yang lumpuh separuh badan.

(Norizan [kanan sekali] bersama anak dan ibu saudaranya ketika ditemui harakahdaily)

Penduduk kampung itu mula menerima notis perintah mahkamah untuk mengosongkan kawasan itu pada 2012, dan pihak Telekom mula memfailkan saman pemula ke atas penduduk pada 14 Mei 2013 lalu melalui Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Notis itu mengatakan semua penduduk kampung terbabit perlu mengosongkan kawasan itu selewat-lewatnya pada 28 Mei ini.

Bagaimanapun, para penduduk memohon untuk menangguhkan pengosongan tersebut dengan meminta jasa baik pihak berkenaan untuk menyediakan satu penempatan bagi mereka, selain menuntut pampasan berhubung hasil tanaman yang diusahakan mereka selama mendiami tanah tersebut.

Menurut perbincangan dengan pihak Telekom, Harakahdaily dimaklumkan Telekom menawarkan sejumlah RM7500 untuk setiap 36 keluarga sebagai kos pemindahan.

Harakahdaily difahamkan, tanah seluas 217.5794 hektar itu pernah dipohon oleh penduduk ketika Selangor dibawah BN dan bekas menteri besar, Tan Sri Muhammad Mohd Taib pada 8 September 1992.

Bagaimanapun, status permohonan penduduk itu tidak diketahui hujung pangkalnya, sehingga pada tahun 2004, tanah tersebut turut dipohon oleh TM Facilities.

Permohonan itu diluluskan ketika era pentadbiran Datuk Seri Dr. Mohd Khir Toyo, bagi tujuan membina Universiti Telekom.

Bagaimanapun ia tidak diteruskan apabila ia kemudiannya dibina di Melaka.

Harakahdaily juga dimaklumkan, status tanah itu masih kekal sebagai tanah pertanian, biarpun penduduk kampung dimaklumkan kawasan itu akan dibangunkan untuk pembinaan kuarters kakitangan Telekom dan mungkin juga menjadi pembangunan komersial.

Klik utk video

source - http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/19466-36-keluarga-tunggu-masa-rumah-diroboh-


No comments:

Post a Comment