Ketika kekalahan di Uhud berlaku, pelbagai versi ulasan dibual-bicarakan
yang merungkai faktor utama kekalahan kaum Muslimin. Salah satu versi
yang berkembang disebarkan oleh kaum munafik ialah kerana kaum Muslimin
yang terdiri di kalangan para sahabat RasuliLlah lebih mengutamakan
syura (musyawarah) berbanding pendapat Rasulullah S.A.W sendiri.
Dalam rujukan Sirah Ibnu Hisham menceritakan, adalah sebelum peristiwa
Uhud terjadi, Rasulullah S.A.W telah bermimpi melihat lembu disembelih,
mata pedangnya sumbing kemudian tajam semula. Mimpi tersebut ditakwilkan
Baginda sebagaimana berikut, "Lembu yang disembelih menandakan ada
beberapa orang Sahabat Baginda yang terkorban syahid; Mata pedang
sumbing menandakan kekalahan akan berlaku, namun selepas kekalahan
tersebut akan mengundang kemenangan yang lebih besar." - Riwayat Muslim
Hal ini menunjukkan bahawa Rasulullah S.A.W telah diberikan petanda
daripada Allah mengenai peperangan Uhud tersebut, lalu Baginda meminta
para sahabat memberikan pendapat masing-masing dengan melakukan
musyawarah sama ada mahu bertahan di Madinah atau bertempur di luar
Madinah.
Rasulullah S.A.W telah mengusulkan kepada para sahabatnya agar tidak
pergi ke medan Uhud dan berkubu sahaja di Madinah. Abdullah bin Ubai, si
munafik sependapat dengan cadangan Baginda RasuliLlah, tetapi para
sahabat yang terdiri dari anak muda tidak bersetuju, dan
bersungguh-sungguh mahu berjihad di luar Madinah. Melihat pendapat Para
Sahabat yang rata-ratanya mahu berperang di luar Madinah, Rasulullah
S.A.W mengabaikan pendapatnya sendiri dan memutuskan untuk bertempur di
medan terbuka.
Baginda memakai kelengkapan perang sambil di pinggangnya disarungkan
pedang, sementara itu para sahabat tiba-tiba muncul perasaan menyesal
dan serba salah kerana keputusan mereka telah menyebabkan Rasulullah
S.A.W keluar ke medan Uhud. Sedangkan Rasulullah S.A.W yang meminta
mereka agar bertahan sahaja di Madinah. Menyedari keterlanjuran
tersebut, kaum Muslimin yang terdiri dari Muhajirin dan Ansar berkata
kepada Rasulullah S.A.W, "Wahai Rasulullah, kami tidak akan
menyalahkanmu. Lakukanlah apa yang Tuan kehendaki. Jika Tuan ingin
menetap di Madinah, lakukanlah."
Dengan tegas Rasulullah S.A.W menjawab, "Seorang Nabi, jika sudah
memakai baju besi, maka tidak patut dia menanggalkannya semula sehingga
Allah memberikan keputusan antara Dia dan musuh-Nya."
Keputusan Para Sahabat untuk bertempur di luar Madinah bukanlah lahir
dari sikap melawan terhadap keputusan Baginda S.A.W, tetapi lahir dari
semangat jihad yang membara. Oleh kerana itu, keputusan Rasulullah S.A.W
telah bulat dan sepakat menerima keputusan musyawarah yang berpihak
kepada para sahabat. Mereka sama-sama keluar bertempur, medannya di
bukit Uhud. Inilah keputusan bersama, apapun hasilnya juga menjadi
tanggungjawab bersama.
Begitu jelas etika yang dipamerkan Rasulullah kepada hasil musyawarah
sekalipun pendapat Rasulullah S.A.W secara peribadi lebih cenderung
berkubu dan menunggu musuh di dalam kota Madinah. Dalam menilai tindakan
Baginda S.A.W, Allah Taala berkomentar tentang peristiwa di Uhud
sebagaimana firman-Nya :
"Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) daripada Allah
(kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada
mereka (Para Sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar
lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu
maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu),
dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan
mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. kemudian
apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat
sesuatu) maka bertawakal-lah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi
orang-orang yang bertawakal kepada-Nya". (Al Imran:159)
Hal yang terjadi telah terjadi, hal diputuskan telah ditaqdirkan Allah,
umat Islam menerima kekalahan walaupun pada pusingan pertama pertempuran
di Uhud, bibit-bibit kemenangan memihak kepada tentera Islam. Namun,
kealpaan pasukan tentera memanah menuruti arahan Rasulullah S.A.W
mengundang seribu satu sebab mengapa tentera Islam tewas di medan Uhud.
Baginda S.A.W turut terjatuh ke dalam lubang yang digali oleh Abu Amar
Ar Rahab sehingga menyebabkan kedua-dua belah lutut terbelah luka, pipi
Baginda cedera dan giginya patah. Tidak kurang juga tentera Muslim yang
lain, ada yang terkorban dan rata-ratanya mengalami kecederaan dahsyat
akibat serangan bertubi-tubi yang dilakukan oleh tentera Quraish dengan
penuh dendam.
Dalam peperangan Uhud, orang-orang munafik jelas menunjukkan belangnya.
Hal ini juga menjadi ibrah penting kepada umat Islam. Pembelotan
Abdullah bin Ubai dan tiga ratus orang pengikut-pengikutnya merupakan
bukti kemunafikan yang sebelumnya tidak kelihatan. Kekalahan kaum
Muslimin di medan Uhud secara tidak langsung membantu mereka mengenali
secara jelas identiti orang-orang munafik secerah mentari.
Lalu apabila kaum munafik ini kembali ke Madinah, berkembanglah cakap-cakap mulut mereka yang mengatakan, "Peristiwa kekalahan di Uhud itu disebabkan kaum Muslimin lebih mementingkan hasil syura daripada pendapat Rasulullah S.A.W."
Memang benar keputusan syura saat itu terasa pahitnya, tetapi yang lebih
pahit lagi ialah sekitar 1/3 pasukan kembali ke Madinah di bawah
pimpinan Abdullah bin Ubai. Alasannya kerana keberangkatan tentera Islam
ke Uhud itu mengenepikan pendapat Rasulullah S.A.W yang sebenarnya mahu
bertahan di dalam kota Madinah sahaja.
Tindakan Abdullah bin Ubai itu dilakukan kononnya tidak tega menyalahi
pendapat Rasulullah, padahal saat Baginda S.A.W keluar ke medan Uhud
tidak pula perlindungan diberikan kepada Rasulullah.
"(Ingatlah) ketika dua puak dari kamu (pada hari peperangan Uhud itu)
terasa lemah semangat (untuk meneruskan perjuangan) kerana takut,
padahal Allah Penolong dan Pelindung mereka; dan (jika sudah demikian)
kepada Allah sahajalah hendaknya orang-orang yang beriman itu
bertawakal" (Ali Imran:122)
Dua puak di sini ialah dua puak yang terdiri di antara orang benar
imannya dan orang yang palsu imannya. Orang yang palsu imannya kembali
melontarkan kata-kata, "Kekalahan ini disebabkan kerana kaum Muslimin
enggan mengikuti pendapat Muhammad, tetapi akur dengan musyawarah yang
dipengaruhi oleh 'anak-anak muda'!".
Cakap-cakap mulut yang cuba menjatuhkan imej para sahabat dan
orang-orang yang beriman menimbulkan kesedaran bahawa mereka turut
mempunyai musuh dalam selimut yang mesti diwaspadai dan diperhatikan,
sebagaimana perhatian Allah yang khusus kepada golongan ini di dalam
surah "al-Munafiqun". Tabiat orang-orang munafik sememangnya lebih
banyak bercakap daripada berusaha, lebih banyak meramal daripada
beramal, lebih kerap beralasan daripada bertindak, lebih banyak mencari
silap orang lain daripada memulihkan kesilapan diri sendiri.
Kesimpulan yang diberikan oleh Allah Taala tentang keputusan akhir di
medan Uhud, sangat berbeza dengan luahan puak-puak munafik. Allah Taala
menurunkan 80 ayat untuk menjelaskan pelbagai hal yang terjadi sebelum,
saat berlangsung dan setelah perang Uhud (bermula dari ayat 120 sehingga
ayat 200 dari surah Al Imran). Di antara ayat-ayat itu, Allah
membangkitkan kembali semangat juang kaum Muslimin :
"Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan
menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang
akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi
(mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang
(sungguh-sungguh) beriman." (Ali-Imran:139)
Dalam tafsir "Fi Zilalil Quran" sekitar ayat 120 sehingga ayat 200 surah
Ali Imran, Sayyid Qutub memberikan komentar tentang peristiwa di Uhud, "Sebenarnya,
menjadi hak Rasulullah S.A.W untuk mengabaikan keputusan syura, akan
tetapi Baginda tetap menjalankan syura meskipun Baginda S.A.W mengetahui
apa yang tersirat di sebalik keputusan itu baik berupa kekalahan,
kerugian dan pengorbanan, kerana menetapkan sebuah prinsip (prinsip
syura) dapat mengajar jemaah, dan mentarbiyyah umat menanggung beban
keputusan secara bersama baik berupa kemenangan mahupun kerugian yang
bersifat sementara."
Hikmah dari arahan Allah supaya syura itu dilakukan kerana Islam ingin
membangunkan satu umat yang ditarbiyah dan mempersiapkan diri sebagai
umat contoh kepada seluruh umat manusia. Oleh itu, sebaik-baik sarana
mentarbiyah umat itu adalah dengan cara melaksanakan musyawarah, kerana
ia secara tidak langsung mendidik mereka dengan prinsip musyawarah dan
turut melatih mereka memikul beban hasil musyawarah tersebut, kerana
manusia dengan segala sifat kelemahannya tidak akan dapat mengetahui
mana yang benar kecuali setelah melakukan kesalahan, mereka boleh sahaja
kalah dengan emosi dan perasaan.
Lantaran itu, Umat Islam tidak sepatutnya menghasilkan didikan anak
bangsa seperti anak kecil yang tidak pernah dilatih berjalan dengan
alasan agar tidak jatuh, namun pada akhirnya nanti anak kecil itu
betul-betul tidak mampu berjalan!
Sebagai contoh, apabila Parti Islam SeMalaysia (PAS) mengusulkan nama
"Negara Berkebajikan", di sana timbul ahli yang bersetuju dan ahli yang
tidak bersetuju, ada yang menerima dan ada yang membangkang. Ketahuilah
bahawa setiap bangkangan dan persetujuan yang berlaku dalam sesi
mesyuarat itu tiada dosa dan tiada salahnya. Ketika sesi musyawarah
setiap orang berhak membangkang dan setiap orang berhak berhujjah, tetapi setelah musyawarah itu diputuskan maka wajib kita menanggungnya bersama.
Oleh sebab itu, dalam sesuatu musyawarah atau perbincangan, jika ada
pandangan atau idea kita ditolak, ucapan yang wajar kita sebutkan ialah
"Alhamdulillah", dan jika pandangan kita diterima jangan pula merasa
bangga tetapi ber"istighfar"-lah sebanyaknya, pasti ia suatu ujian buat
kita. Ramai yang terkeliru, apabila setiap perkara itu dilakukan secara
musyawarah maka setiap keputusan itu pasti sempurna, pasti tiada
silapnya atau pasti berjaya, sehingga ada yang menuduh "anda salah ijtihad", "keputusan anda tidak betul" dan sebagainya, padahal bukan begitu hakikat perlaksanaan syura.
Syura dilakukan adalah untuk mengajar kita merasai kejayaan,
melaksanakan keputusan atau menanggung kekalahan bersama, kerana
komitmen orang beriman pasti akan diuji Allah sama ada tergelincir ke
jurang kekeliruan ataupun berjaya meragut hasilnya.
Oleh itu, belajarlah adab musyawarah kerana setiap perkara yang
diputuskan itu pasti mengundang risiko seumpama kekalahan di Medan Uhud
ataupun kemenangan di Medan Khandak.
No comments:
Post a Comment