“Jangan kamu merasa lemah dalam menghadapi lawanmu. Jika kamu menderita sakit, maka sesungguhnya mereka juga menderita sakit sepertimu sedangkan kamu mengharapkan daripada Allah apa yang tidak mereka harapkan” – Surah An-Nisa' : Ayat 104

Monday, May 20, 2013

Gangguan bekalan: Air S'gor perlu distruktur semula

KUALA LUMPUR, 20 Mei: Kenyataan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) yang mengakui bekalan air bersih tidak mencukupi mengesahkan kenyataan awal kerajaan Selangor sebelum ini bahawa keutamaan perlu diberikan kepada bekalan air terawat bukan air mentah.

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata kekurangan bekalan air terawat adalah kerana kelemahan penyelenggaraan loji-loji rawatan air, keadaan paip air yang kurang memuaskan serta kegagalan Syabas mengadakan sistem logistik yang berkesan dalam menyalurkan air kepada pengguna.


Menurutnya, ini ditambah dengan kegagalan SYABAS menurunkan kadar air tidak berhasil (NRW) daripada 33 peratus kepada 15 peratus pada 2012 seperti yang dipersetujui dalam perjanjian perswastaan.

"Ia juga merupakan sebab yang sama mengapa Langat 2 bukan penyelesaian kepada masalah air. Penyelesaian yang lebih berkesan adalah dengan memastikan operator air cekap dan berkesan," katanya.

"Kerajaan Selangor menyeru Kerajaan Pusat supaya memberi keutamaan kepada menyelesaikan penstrukturan semula industri air bagi membolehkan kerajaan negeri memulihkan keadaan perkhidmatan pembekalan air yang tidak terurus sepanjang di bawah Syabas," katanya.

Syabas dalam satu kenyataan semalam mengumumkan sejumlah 13,500 pengguna di Gombak dan Kuala Lumpur akan mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual, termasuk tekanan rendah, ekoran penurunan paras air di kolam utama syarikat itu sejak kelmarin.

Syarikat konsesi itu menyebut kawasan yang terlibat di Gombak adalah Lembah Jaya Utara, Desa Lembah Permai, Kampung Muhibbah, Kampung Tasek Permai, Kampung Ampang Campuran, Kampung Tasik Tambahan, Taman Sri Baru dan Taman Dagang Jaya.

Di Kuala Lumpur pula Bandar Seri Permaisuri, Taman Shamelin, Jalan Ikan Emas dan Jalan Yaakob Latif manakala kawasan lain termasuk rumah pangsa lima tingkat di Desa Pandan, Taman Dagang dan Taman Nirwanasa Maju.

Kenyataan itu juga menyebut gangguan bekalan air tidak berjadual dan tekanan air rendah yang berlaku adalah disebabkan pengurangan pengoperasian di Rumah Pam Wangsa Maju sehingga menyebabkan penurunan paras yang kritikal di kolam utama Syabas sejak semalam.
source - http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/19383-gangguan-bekalan-air-sgor-perlu-distruktur-semula

No comments:

Post a Comment