“Jangan kamu merasa lemah dalam menghadapi lawanmu. Jika kamu menderita sakit, maka sesungguhnya mereka juga menderita sakit sepertimu sedangkan kamu mengharapkan daripada Allah apa yang tidak mereka harapkan” – Surah An-Nisa' : Ayat 104

Wednesday, May 15, 2013

Pemuda PAS Selangor pantau kerajaan negeri


KUALA LUMPUR, 15 Mei: Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor akan memantau dan menjadi kumpulan pendesak yang menyuarakan bantahan sekiranya saf kepimpinan kerajaan negeri gagal memenuhi hasrat dan harapan rakyat.
Ketuanya, Hasbullah Mohd Ridzwan (gambar) berkata, pihaknya akan menyuarakan bangkangan sekiranya MB Selangor dengan saf kepimpinan yang akan dilantik selaku Exco kerajaan negeri gagal di dalam memenuhi segala hasrat dan harapan rakyat seperti mana yang diharapkan sebelum daripada pilihanraya lalu.


Oleh itu, ujar beliau pihaknya amat mengharapkan semoga kerajaan negeri akan terus memberikan perkhidmatan yang baik kepada rakyat negeri itu yang telah memilih Pakatan Harapan Rakyat untuk terus mentadbir dengan majoriti yang selesa.

“Semoga harapan rakyat Selangor ini tidak dikhianati dan semua janji-janji tidak dimungkiri,” ujarnya yang juga Adun Gombak Setia dalam kenyatan kepada Harakahdaily.

Sementara itu, kata beliau Pemuda PAS negeri merakamkan ucapan tahniah kepada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di atas perlantikan sebagai Menteri Besar Selangor untuk penggal kedua.

Abdul Khalid telah menerima watikah perlantikan daripada Tuanku Sultan Sharafuddin Idris Shah, Sultan Selangor pada Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Selangor dan Akujanji di Istana Alam Shah, Klang, semalam.

Justeru, kata Hasbullah, pihaiknya mengharapkan semoga Abdul Khalid akan meneruskan kecemerlangan mentadbir negeri dengan penuh amanah dan bertanggungjawab.

Selain itu, tambah beliau MB Selangor juga diharapkan untuk memenuhi dan menepati segala janji-janji yang telah diberikan sepanjang tempoh kempen pilihan raya yang lepas mengikut keutamaan.

Pemuda PAS negeri, ujarnya lagi turut memuji keputusan bijaksana dan jiwa besar yang telah ditunjukkan oleh kepimpinan Pakatan Rakyat Selangor terhadap isu perlantikan Menteri Besar Selangor.

“Semoga dengan perlantikan ini akan mempertautkan kembali ukhuwwah dan semangat kerjasama di antara parti-parti di dalam Pakatan Rakyat Selangor,” ujar beliau.

source - http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/19262-pemuda-pas-selangor-pantau-kerajaan-negeri#.UZLxlUlRr88

No comments:

Post a Comment