SHAH ALAM, 13 Feb: Tempoh 14 hari
untuk Kerajaan Persekutuan memberi maklum balas kepada hasrat Kerajaan
Negeri Selangor mengambil alih perkhidmatan air akan tamat minggu
hadapan.
“Oleh itu, kita menyeru Kerajaan Persekutuan untuk bertindak secepat
mungkin memandangkan isu penyusunan semula industri air ini melibatkan
kepentingan rakyat,” kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Katanya, kerajaan negeri menegaskan ini bukanlah pengambilalihan biasa syarikat komersil.
Ini, jelasnya adalah kerana perjanjian konsesi air melibatkan tiga
pihak iaitu Syabas, Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri yang pemegang
sahamnya adalah rakyat.
Beliau menambah, urusniaga sepatutnya tidak boleh berpaksikan
keuntungan semata-mata sebaliknya kebajikan rakyat juga perlu diberi
keutamaan.
“Justeru, kita menyeru kerajaan Pusat yang
memiliki Golden Share atau saham emas dalam Syabas menggunakan kuasanya
bagi memastikan Syabas menerima tawaran kerajaan Selangor,” katanya
dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini.
Jelasnya lagi, kerajaan negeri sudah menyediakan surat tawaran kepada
syarikat konsesi dan berharap mereka tidak menjadikan faktor harga
sebagai alasan untuk menolak tawaran ini.
Katanya lagi, kerajaan negeri berulang kali menyatakan bahawa
syarikat konsesi boleh membawa perkara ini kepada Timbangtara
Antarabangsa bagi mendapatkan pampasan yang sewajarnya.
Menurut Khalid lagi, kerajaan negeri akan memberi penerangan kepada
rakyat mengenai pelan dan langkah-langkah yang akan dilakukan kerajaan
negeri selepas mengambilalih perkhidmatan air ini pada Forum Air Untuk
Rakyat yang akan diadakan selama 10 hari bermula 18 Februari sehingga 28
Februari di seluruh negeri.
Katanya, antara mereka
yang terlibat ialah Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad;
Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago; Ahli Parlimen Lembah Pantai,
Nurul Izzah Anwar; Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua; Pengarah
Strategi PKR, Rafizi Ramli dan Setiausaha Politik kepada Menteri Besar,
Faekah Husin.
“Kita akan mengiklankan tarikh dan
tempat forum air ini akan diadakan di beberapa akhbar utama untuk
memudahkan rakyat merancang dan membuat persediaan awal.
“Kita berharap rakyat dapat menggunakan forum air ini sebagai
platform untuk mendapatkan maklumat tepat dan terkini berhubung isu air
di Selangor dan Lembah Klang,” katanya lagi.
Source - http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/16683-air-selangor-siap-hantar-tawaran-kepada-konsesi
No comments:
Post a Comment