15 Januari 2013
KUALA LUMPUR: Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan PAS
(PPP), Dr Dzulkefly Ahmad menyifatkan keputusan Majlis Syura berhubung
dengan nama Allah baru-baru ini adalah paling tepat (arjah) untuk masa
dan realiti setempat di Malaysia.
"Bagi saya keputusan Majlis Syura itu adalah paling wajar dalam isu ini," kata beliau yang juga Anggota Parlimen Kuala Selangor.
Menurut
beliau, keputusan itu telah memperkukuhkan pandangan yang telah
diberikan oleh Presiden dan juga Mursyidul Am PAS sebelum ini.
"Bagi saya, keputusan ini jame' dan mani' (sempurna dan tepat), tidak memberat-berat (la ifradh) dan tidak meringan-ringan (la tafridh) dalam mahfumnya dalam mengambil kemaslahatan dakwah secara menyeluruh," tegas Dr Dzulkefly Ahmad yang juga AJK PAS Pusat.
Majlis
Syura Ulamak PAS baru-baru ini membuat keputusan, nama Allah boleh
digunakan oleh bukan Islam tetapi tidak bersetuju nama Allah menjadi
terjemahan kepada perkataan God dalam Bible kerana ia tidak tepat,
mengelirukan dan boleh membawa kepada silap faham.
Sebelum ini,
Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam kenyataan bertulisnya
berkata, orang bukan Islam boleh menggunakan nama Allah tetapi jangan
disalahgunakan.
Namun ia tidak dihurai secara terperinci apa maksud jangan disalahgunakan itu.
Majlis
Syura Ulamak PAS pula memutuskan dan mengulangi penegasan bahawa
sesiapapun boleh menggunakan kalimah Allah secara 'hukum asal' dari
nas-nas Al-Quran sendiri (Fiqh Nusus).
Bagi Dr Dzulkefly, ia
berbeza dengan Mufti Umno yang mengeluarkan kenyataan, boleh menjadi
kafir dan murtad jika benarkan orang bukan Islam guna nama Allah.
Ini
berlawanan dengan pendirian ulama PAS yang tidak mudah-mudah
menjatuhkan hukuman 'takfir' mentelahan terdapat banyak nas dari
Al-Quran secara qat'iy dan jelas (soreh) ia boleh digunakan.
Utusan
melaporkan, Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Nooh Gadut
berkata mereka yang membenarkan penyelewengan penggunaan kalimah Allah
boleh jadi murtad dan perlu bertaubat dengan segera.
Katanya, kalimah Allah adalah hak mutlak agama Islam serta mereka yang mengucap dua kalimah syahadah.
Menurut
Dr Dzulkefly, ini sangat bertentangan dengan banyak nas termasuk yang
diucapkan umat Islam 17 kali sehari dalam Al-Fatihah bahawa Allah ialah
Rabb (Tuhan) seluruh Alam yakni makhluk beriman atau tidak, Muslim, Ahli
Kitab atau pun Musyrikin dan seluruh semesta alam.
Majlis Syura
dalam kenyataannya telah memperjelaskan apa yang dimaksudkan dengan
'jangan salah guna' yang dibuat oleh Presiden PAS sebelum ini.
"Majlis
Syura telah secara spesifik memperkemaskan penyataan itu dengan
menegaskan, nama Allah tidak boleh diterjemahkan dari perkataan God dan
wajar dihalang kerana ia mengelirukan dalam suasana waqi' dan realiti
hari ini.
"Ia memperjelaskan apa yang dikatakan 'jangan disalahgunakan' oleh Presiden," kata beliau.
Menurut
Dr Dzulkefly, apa yang dilakukan oleh Majlis Syura, setelah jelas hukum
asal perkara ini, adalah satu ijtihad berdasarkan keperluan masa dan
waqi' (persekitaran) kini.
Ia pula sesuai dengan peranannya dalam
ruang lingkup 'Siyasah Syariah' dan hal urus-tadbir keagamaan,
mengambil pelbagai Qawaid Fiqiyyah seumpama Sadda Zari'ah (Menutup
pintu-pintu kemudharatan dalam menjaga Maqasid Syara' seperti Hifzul
Deen).
"Inilah siasah syariyyah yang dilaksanakan oleh Majlis
Syura. Ijtihad ini bagi saya tepat, wajar dengan masa dan suasana
sekarang tambahan wujud pelbagai dakwaan pelbagai kelompok sehingga
menimbulkan keresahan dan pertentangan antara agama.
"Sesuai
dengan sifat ijtihad itu, ia boleh berubah apabila masa dan suasana
berubah, seperti juga wujudnya Qaul Qadim (ijtihad lama) dan Qaul Jadid
(ijtihad baru) dalam Mazhab Syafie," katanya.
"20 tahun lagi,
setelah pencerahan minda dan kebangunan ummat dapat kita usahakan,
mungkin sahaja ijtihad ini akan berubah, Allahu 'Alam," katanya.
"Yang
penting bagi saya jangan sampai kalimah Allah sahaja yang kita
pertahankan sementara syariat Allah kita kesampingkan," katanya
berseloroh bercampur sinis.
Source - http://bm.harakahdaily.net/index.php/terbaik/15975-keputusan-majlis-syura-tepati-realiti-semasa-dr-dzulkefly
No comments:
Post a Comment