13 Feb 2013
Isu
ini adalah isu terakhir yang ditimbulkan Fathul Bari yang akan saya
jawab. Sembilan isu telah beliau kemukakan dan kesemuanya saya telah
hurai dengan panjang lebar. Saya tahu beliau akan tetap di atas
pendiriannya kerana paksi kepada segala hujjahnya ialah bersandarkan
bahawa beliau mesti bersama dengan pemerintah walau sejahat mana
sekalipun pemerintah tersebut.
Namun dalam mempertahankan pemerintah, beliau sanggup memutar-belitkan fakta dan ini amat sangat mendukacitakan.
Di antara fakta yang diputar-belit ialah kedudukan DAP dan bagaimana PAS
lebih rela bersama DAP berbanding dengan UMNO. Kenyataan ini
dikeluarkan dengan tujuan memperlekehkan pendirian PAS untuk menyertai
PR sedangkan hakikatnya tiada pilihan yang sebegitu perlu dilakukan.
Ini adalah kerana pilihan sebenar adalah di antara PAS atau UMNO
bagi ummat Islam dan DAP atau MCA/MIC/Gerakan bagi yang bukan Islam. PAS
ingin menggantikan UMNO sebagai peneraju politik Melayu dan Islam. PKR
juga mempunyai cita-cita yang sama walaupun mereka adalah parti
berbilang kaum. PAS berkerjasama dengan DAP kerana PAS memerlukan rakan
untuk mendapat sokongan bukan Islam sepertimana juga UMNO apabila
bersama MCA/MIC/Gerakan. Bagi pandangan PAS, DAP adalah parti yang lebih
mulia berbanding MCA/MIC/Gerakan kerana DAP mempunyai prinsip
perjuangan yang berpaksikan konsep keadilan sosial. MCA/MIC/Gerakan
telah sebati dengan kronisma dan rasuah sepertimana rakan kongsi mereka
iaitu UMNO.
Dalam usaha menggantikan UMNO, adalah pelik sekiranya PAS berganding
pula dengan UMNO! Hakikatnya, dari perspektif PAS, UMNO adalah
penghalang kepada kebangkitan ummat kerana mereka menawarkan kepada
orang Islam kaedah politik yang selain dari Islam. Pada masa yang sama
mereka menghalang kemaraan PAS dalam usaha memperbetulkan minda Muslim
dengan menutup segala saluran dakwah yang mampu ditutup mereka.
Bagi UMNO kefahaman yang jelas berhubung politik Islam adalah ancaman
kepada politik perkauman UMNO. Oleh itu mereka berusaha sedaya upaya
untuk menghalang peningkatan kefahaman ummat Islam. Dan inilah sebabnya
UMNO adalah musuh Islam yang sebenar. Oleh itu tidak masuk akal untuk
PAS berkerjasama dengan UMNO.
Ini adalah kerana PAS ingin kefahaman terhadap politik Islam
ditingkatkan sambil UMNO mahu ianya semakin disekat! Adakah mungkin
berganding bersama? Satu ingin tambah dan satu lagi ingin kurang!
DAP sebaliknya bukan merupakan saingan terhadap PAS. Ini adalah kerana PAS dan DAP tidak merebut ‘market’
yang sama. DAP inginkan yang bukan Islam berpegang kepada corak politik
berprinsip, walaupun bukan prinsip Islam, namun ada banyak persamaan
dengan Islam. Persoalan keadilan sosial, keadilan, ketelusan, kecekapan
semuanya adalah prinsip yang selari dengan ajaran Islam. Berbanding
MCA/MIC/Gerakan mereka merupakan rakan yang lebih mulia.
Maka jelas PAS tidak boleh menerima UMNO sebagai rakan kerana ingin
menggantikan UMNO. Pada masa yang sama, adalah amat lojik bagi PAS untuk
berkerjasama dengan DAP kerana perlukan rakan bukan Islam untuk
menghadapi hakikat masyarakat majmuk. Fathul dalam menyentuh persoalan
ini hanya menyentuhnya dari sudut emosi perkauman dan ‘keislaman’ yang
songsang. Iaitu DAP bukan Islam sambil UMNO Islam. Persoalannya, adakah
kita sebagai ummat Islam wajar berkerjasama dengan orang Islam yang
ingin mengongkong kefahaman Islam itu sendiri?
Sudah pasti tidak! Maka biarlah PAS bersaing dengan UMNO demi
membebaskan ummat Islam dan agama Islam itu sendiri dari terus
dikongkong UMNO!
WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD
YDP PAS of Shah Alam
No comments:
Post a Comment