“Jangan kamu merasa lemah dalam menghadapi lawanmu. Jika kamu menderita sakit, maka sesungguhnya mereka juga menderita sakit sepertimu sedangkan kamu mengharapkan daripada Allah apa yang tidak mereka harapkan” – Surah An-Nisa' : Ayat 104

Wednesday, February 20, 2013

Kewajipan Membentuk Kerajaan Yang Adil


Allah Taala telah berfirman di dalam Surah An-Nisa’ ayat ke-58 :
“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik – baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.”
Imam Al-Qurtubi di dalam kitabnya Al-Jami’ li-Ahkam al-Quran menjelaskan bahawa ayat ini merupakan salah satu daripada ayat-ayat berkenaan dengan pentadbiran Islam yang merangkumi kesemua aspek agama serta undang-undangnya. Ayat ini merupakan peringatan kepada pemimpin, penggubal undang-undang, hakim, serta mereka yang bertanggungjawab terhadap pelaksanakan undang-undang yang termaktub supaya menjalankan amanah dengan adil dan saksama.

Ramai ulama berpendapat bahawa ayat ini bersama-sama dengan ayat-ayat lain dalam surah yang sama merupakan dalil yang kukuh bahawa perlunya mewujudkan satu badan kuasa untuk memimpin orang-orang awam dengan menggunakan undang-undang Allah yang berkait dengan hal-hal duniawi dan juga hal-hal ukhrawi. Terdapat beberapa perkara yang tersirat di dalam ayat ini;

Perkara yang pertama, Allah memerintahkan supaya segala amanah diberi hanya kepada pihak yang layak dan mampu untuk menerimanya sahaja. Amanah merupakan satu nilai yang boleh dipertimbang melalui perbuatan. Seseorang yang betul-betul amanah tidak akan mengkhianati tanggungjawab yang diberikan kepadanya. Rasulullah SAW telah bersabda (maksudnya), "Tidak sempurna iman bagi sesiapa yang tiada amanah pada dirinya dan tiada agama bagi orang yang tidak dipercayai janjinya." - Riwayat Ahmad dan At-Tabrani

Tidak ada seorangpun di atas muka bumi ini yang terlepas daripada memikul amanah, baik kecil mahupun besar. Amanah seorang pemimpin ialah untuk menegakkan hukum dan berlaku adil terhadap rakyat tanpa mengira latar belakang mereka, membelanjakan perbendaharaan negara dengan cermat yang membawa manfaat kepada orang ramai, serta menunaikan kepada rakyat apa yang menjadi hak mereka.

Rasulullah telah bersabda (maksudnya), “Setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap daripada kamu akan ditanya berkenaan kepimpinannya. Seseorang amir (pemimpin) yang menguruskan hal ehwal masyarakat adalah pemimpin, dan ia akan disoal berkenaan urusan kepimpinannya.” - Riwayat at-Tirmizi

Sesungguhnya amanah ini bukanlah satu permainan, bahkan alam pun enggan memikul amanah Allah. Allah Taala telah berfirman :

"Sesungguhnya kami telah mengemukakan tanggungjawab amanah ini kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya). Maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya), dan (pada ketika itu) manusia sanggup memikulnya. Sesungguhnya tabiat kebanyakkan manusia itu suka melakukan kezaliman dan suka pula berbuat perkara-perkara yang tidak patut dilakukan." (Surah al-Ahzab : ayat 72)

Ramai pemimpin menolak kefahaman Islam dan hasilnya mereka jahil di dalam memahami peranan mereka sebagai pemimpin serta tanggungjawab yang Allah amanahkan kepada mereka. Mereka dengan sewenangnya meminta amanah, dan setelah diberi amanah mereka memecahnya. Perbendaharaan negara dikaut untuk kepentingan sendiri, masyarakat dibebankan dan dijahilkan, yang menjadi hak orang ramai dicabuli, dan sesiapa yang menentang mereka akan ditangkap, ditahan, bahkan dibunuh.

Khalifah Umar Abdul Aziz ketika menjadi pemimpin telah berjaya memakmurkan negaranya dalam masa dua tahun. Pada zaman pemerintahannya, negara menjadi makmur dan tidak ada sesiapapun yang mahu menerima zakat. Ketika melihat anaknya mengulum sebiji tamar yang diambil dari Baitul-Mal, beliau memaksa keluar buah tamar itu dan membelikan tamar yang lain untuk anaknya kerana mengenangkan bahawa tamar itu bukan miliknya. Sewaktu anaknya datang hendak berjumpa berkenaan dengan hal peribadi, beliau mematikan lampu pelita kerana minyaknya adalah kepunyaan kerajaan untuk tugas-tugas kerajaan.

Kisah ini menjadi bukti apabila seorang pemimpin kerajaan itu menjaga amanahnya, ia akan membawa kebaikan dan manfaat kepada negaranya pada masa hadapan.

Perkara yang kedua, Allah memerintahkan pemimpin supaya berlaku adil apabila menjalankan hukum sesama manusia. Mereka wajib mempertimbangkan hal-hal rakyat dengan penuh keadilan dan sama rata apabila mereka memegang kuasa dan di mana-mana sahaja mereka memegang kuasa.

Perkataan al-‘adl di dalam ayat ke-58 Surah An-Nisa’ itu memberi maksud bahawa sebarang keputusan yang dikeluarkan oleh pihak pemerintah mestilah bersandarkan kepada al-Quran dan Sunnah, dan bukannya berasaskan kepada logik akal manusia, kerana logik akal manusia itu ditemani nafsu dan sebarang hukuman yang bertemankan nafsu akan mengandungi unsur-unsur ketidakadilan, ketidaksamarataan, serta kekurangan kadar hukum.

Apabila pemerintah membuat keputusan berasaskan logik akal, secara jelas kita dapat melihat betapa pekatnya ketidakadilan yang melanda. Orang-orang  yang dilabel sebagai ancaman keselamatan awam dikurung tanpa mendapat ruang untuk membela diri, sedangkan Allah sudah mengingatkan (maksudnya), "Tunjukkanlah keterangan-keterangan yang (membuktikan kebenaran) apa yang kamu katakan itu, jika betul kamu orang-orang yang benar." (surah al-Baqarah : ayat 111)

Selain itu, segala bentuk kemudahan, kebajikan, dan perlindungan diagihkan dan diberikan atas dasar pilih bulu dengan mengambil kira latar belakang individu serta pendirian mereka, sedangkan Allah sudah mengingatkan (maksudnya), “Dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa.” (surah al-Maidah : ayat 8)

Pada zaman Nabi Ibrahim, Raja Namrud ketika mengagihkan bekalan makanan kepada rakyatnya bertanya, “Siapakah yang paling berkuasa?”

Jika rakyatnya memperakui bahawa Namrud adalah yang paling berkuasa, maka bekalan makanan akan diberi. Namun jika mereka menjawab sebaliknya, mereka tidak akan mendapat bekalan makanan.

Pada peringkat awal dan pertengahan kurun ke-20, dunia telah menyaksikan peristiwa Apartheid di Afrika Selatan, penyisihan suku Aborigine di Australia, penyisihan suku Eskimo di Kanada, dan penyisihan masyarakat kulit hitam di Amerika Syarikat. Kita menyaksikan sendiri bagaimana mereka dinafikan hak asasi mereka; dihadkan kepada kawasan-kawasan tertentu, tidak diberi pekerjaan dan pendidikan yang sewajarnya, tidak dibenarkan menggunakan kemudahan awam kecuali pada waktu-waktu tertentu, bahkan di dalam bas wajib memberi tempat duduk kepada orang kulit putih.

Di Australia pada waktu itu, menembak mati orang Aborigine tidak dianggap bersalah, bahkan dianggap riadah. Sir Winston Churchill sendiri pun pernah mengatakan, “Saya tidak mengaku misalnya, bahawa terdapat apa-apa kesalahan besar yang telah dilakukan terhadap orang Red Indian Amerika ataupun orang hitam Australia. Saya tidak mengakui bahawa terdapat apa-apa kesalahan yang telah dilakukan terhadap orang-orang ini oleh hakikat bahawa satu bangsa yang kuat, bangsa yang lebih tinggi grednya, satu bangsa yang lebih bijak tentang hal duniawi telah datang dan mengambil tempat mereka.” (Ucapan kepada Suruhanjaya Peel, 1937)

Semua perbuatan ini jelas bercanggah dengan tuntutan berlaku adil. Di dalam mempertahankan warna kulit serta memuliakan bangsa, mereka lupa bahawa mereka semuanya datang dari satu sumber yang sama; Adam dan Hawa. Allah Taala sendiri telah mengingatkan kita :

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya, semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya).” (surah al-Hujuraat : ayat 13)

Sewaktu Sultan Muhammad Al-Fateh memimpin kerajaan Turki Uthmaniyyah, terdapat seorang pemimpin kerajaan Uthmaniyyah yang telah bertindak mencedera seorang penganut Kristian sehingga ke tahap boleh dikenakan hukuman Qisas. Meskipun yang melakukan jenayah tersebut merupakan orang besar kerajaan, hakim tetap menjatuhkan hukuman Qisas ke atasnya.

Ketika Ali bin Abi Talib menjadi khalifah, beliau pernah menuduh seorang Yahudi mencuri baju besinya. Hal ini dibawa ke mahkamah dan Ali didapati bersalah menuduh si Yahudi tersebut tanpa hujah yang kukuh, bahkan hakim tidak merujuk kepadanya sebagai Khalifah, hanya sekadar Ali. Hal ini menunjukkan bahawa di dalam sesebuah kerajaan Islam, undang-undang dan keadilan itu merangkumi semua pihak. Tidak ada sesiapapun yang terkecuali sungguhpun dia seorang yang kaya, berkuasa, ataupun berpengaruh.

Perkara yang ketiga, sungguhpun perintah ini ditujukan kepada sekalian umat Islam, ia tidak mungkin dapat dilaksanakan sepenuhnya melainkan jika seorang ketua dilantik untuk memegang amanah serta melaksanakan keadilan. Pun begitu, bukan sebarang orang yang boleh dilantik menjadi ketua. Allah Taala telah berfirman :

“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) daripada kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (al-Quran) dan (Sunnah) Rasul-Nya jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat.” (surah an-Nisa’ : ayat 59)

Dalam ayat di atas, Allah menyebut ulil-amri min-kum. Perkataan ‘kum’ (kamu) itu kalau mengikut ilmu lughah merujuk kepada alladziina aamanuu (orang-orang yang beriman), bermakna di antara pemimpin yang diiktiraf oleh Allah ialah dari kalangan orang yang beriman. Dan antara sifat orang yang beriman ialah, “...Orang-orang yang memelihara amanah-amanah (yang dipikulnya) dan janjinya.” (maksud surah al-Mu’minun : ayat 8)

Pemimpin yang beriman akan sentiasa menjadikan al-Quran dan Sunnah sebagai rujukannya di dalam apa hal sekalipun. Dia ada ilmu dan kesedaran mengenai suruhan dan larangan Allah, halal dan haram, dan persoalan Allah terhadap amanahnya kelak. Pemimpin yang tidak beriman tidak mungkin akan menjadikan Al-Quran dan Sunnah sebagai panduannya. Dia akan lebih mengutamakan akal logik manusia dan cenderung kepada kepentingan sendiri, yakni hasilnya akan membawa kepada pecah amanah dan ketidakadilan seperti yang telah disebutkan.

Dalam dunia hari ini kita telah menyaksikan pemimpin-pemimpin negara yang rosak. Kerajaan Hosni Mubarak di Mesir, kerajaan Zin El-Abidine di Tunisia, kerajaan Suharto di Indonesia, kerajaan Muammar Gaddafi di Libya; semuanya telah mengaut kekayaan negara untuk diri mereka dan sekutu mereka meninggalkan rakyat di dalam keadaan daif, tidak terurus, serta penindasan yang berterusan. Mereka turut menyeksa dan menggunakan kekasaran terhadap sesiapa yang menentang mereka. Akhirnya mereka dijatuhkan oleh rakyat sendiri kerana tidak menunaikan amanah mereka.

Rasulullah S.A.W telah bersabda (maksudnya), “Hak-hak akan diberikan kembali kepada orang-orang yang sepatutnya, bahkan biri-biri yang tidak bertanduk akan  menuntut bela terhadap biri-biri yang bertanduk.” - Sahih Muslim

Sejarah telah mengajar dan menunjuk kita tentang kerajaan-kerajaan terdahulu yang mentadbir negara dengan penuh amanah dan adil. Pada masa sama sejarah juga telah memperlihatkan kita kerajaan-kerajaan yang rosak dan menghancurkan negara, bahkan kerajaan seperti ini masih lagi wujud di serata dunia.

Kita telah diberi pengetahuan tentang kerajaan Saidina Ali, Umar Abdul Aziz, dan Muhammad Al-Fateh. Dan sepanjang perjalanan hidup kita, kita telah menyaksikan kerajaan Mubarak, Gaddafi, Suharto, dan banyak lagi kerajaan lain, baik kerajaan negara orang Islam ataupun sebaliknya.

Atas kefahaman inilah, maka menjadi tuntutan ke atas kita untuk mewujudkan sebuah kerajaan Islam untuk mentadbir dan menguruskan negara. Kerajaan Islam di dalam sejarahnya sendiri telah terbukti adil dan saksama terhadap semua serta memakmurkan negara. Hanya kerajaan yang berlandaskan kepada Islam dan ajarannya diiktiraf oleh Allah, dan segala yang diiktiraf oleh Allah akan dipelihara-Nya. Yakinlah bahawa sebuah kerajaan yang amanah dan adil akan membawa kepada kemakmuran dan keamanan sesebuah negara. 

* Abdul Karim bin Ahmad Fauzi merupakan Jurutera berasal dari Subang Jaya, Selangor.

* This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Tuesday, 12 February 2013 

Source - http://blog.tarbawi.my/2013/02/kewajipan-membentuk-kerajaan-yang-adil.html



No comments:

Post a Comment