SHAH ALAM, 13 FEB: Sebagai pemegang saham emas(golden share) Kerajaan
Persekutuan diminta menggunakan kuasanya bagi membolehkan Syarikat
Bekalan Air Selangor(Syabas) menerima tawaran harga Kerajaan Negeri bagi
mengambil alih operasi pengurusan bekalan air di Selangor.
Langkah ini sekaligus mempercepatkan penyelesaian penyusunan semula industri air demi kepentingan rakyat.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, sekiranya mereka
enggan berbuat demikian, Kerajaan Negeri akan membawa Kerajaan
Persekutuan ke mahkamah kerana melanggar Akta Industri Perkhidmatan Air
2006 (Wsia 2006).
Beliau menegaskan, ini bukanlah pengambil alihan biasa syarikat
komersil sebaliknya melibatkan perjanjian antara tiga pihak iaitu
Syabas, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri yang pemegang sahamnya
adalah rakyat.
“Urusniaga tidak boleh berpaksikan keuntungan semata-mata sebaliknya
kebajikan rakyat perlu diberi keutamaan,” katanya pada sidang media
selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco.
Ketika mengulas berkaitan soal harga yang ditawarkan sama ada lebih
tinggi atau rendah berbanding sebelum ini, Abdul Khalid menyatakan
perkara berkenaan disifatkan sensitif dan sulit.
Beliau menambah, dokumen tawaran akan dihantar kepada syarikat konsesi pada minggu depan.
Usaha pengambil alihan ini susulan kenyataan Timbalan Perdana
Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini bahawa Kerajaan
Persekutuan tiada masalah dengan usaha Selangor untuk menstruktur semula
industri tersbut.
Makluman pengambil alihan pengurusan air daripada syarikat konsesi
dalam tempoh 14 hari dibuat melalui surat yang ditulis Kerajaan Negeri
kepada Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin
Kah Fui.
Tempoh 14 hari tersebut bermula pada 4 Februari dan akan akan tamat minggu depan.
Pada ketika ini, operasi air terawat dikendalikan syarikat konsesi
Puncak Niaga Sdn Bhd, Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd
(SPLASH) dan Konsortium ABASS Sdn Bhd.
Pada 31 Januari 2010, Kerajaan Negeri menawarkan nilai pampasan
sebanyak RM 9.27 bilion namun jumlah tersebut ditolak kesemua syarikat
tersebut.
Dalam perkembangan sama, Kerajaan Negeri akan memberikan penerangan
kepada rakyat mengenai pelan dan langkah-langkah yang akan dilakukakan
selepas pengambilalihan perkhidmatan air ini dalam ‘Forum Air Untuk
Rakyat’ yang akan diadakan selama 10 hari bermula 18 Februari sehingga
28 Februari di seluruh negeri.
Antara jurucakap yang terlibat adalah Ahli Parlimen Kuala Selangor,
Dr Dzulkefly Ahmad; Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago; Ahli Parlimen
Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar; Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara
Tony Pua; Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli dan Setiausaha Politik
kepada Menteri Besar, Faekah Husin.
“Kita akan iklankan tarikh dan tempat forum air ini akan diadakan di
beberapa akhbar utama untuk memudahkan rakyat merancang dan membuat
persediaan awal.
“Kita berharap rakyat dapat menggunakan forum air sebagai platform
untuk mendapatkan maklumat tepat dan terkini berhubung isu air di
Selangor dan Lembah Klang,” ujar beliau lagi.
Source - http://www.selangorku.com/?p=22901
No comments:
Post a Comment