KUALA LUMPUR,19 Feb: Biarpun kempen pilihan raya umum belum
bermula, Bersih 2.0 mendapati terdapat parti-parti politik yang mula
melakukan kempen secara terang-terangan.
Perbuatan tersebut,
menurut Bersih, merupakan kesalahan-kesalahan di bawah Akta Kesalahan
Pilihan Raya, tegas koordinatornya, Maria Chin Abdullah, hari ini.
Bercakap
pada sidang media di Dewan Himpunan Cina, Maria berkata pihaknya
menerima aduan daripada rakyat tentang surat-surat dan bendera-bendera
dengan logo parti yang menggesa mereka mengundi parti dan calon
tertentu.
"Malah, ada yang turut menjanjikan pemberian kewangan
dan lain-lain faedah sebagai tukaran undi. Tindakan ini memerlukan
perhatian serius daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)
dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Tambah Maria, pihaknya
sebelum ini mendapati salah satu salah laku yang dilaporkan kepada
Bersih merupakan satu bendera parti politik dikibarkan di Jambatan
Permas Jaya, Johor Bharu.
Pada bendera tersebut, tegas Maria jelas kelihatan logo dan lambang parti, selain perkataan 'Undilah Barisan Nasional'.
Katanya,
jika bendera parti itu hanya meletakkan lambang atau logo parti
semata-mata, ia tidak menjadi masalah, sebaliknya kata-kata 'undilah'
itu menjurus kepada kempen pilihan raya.
Maria turut menyelar kenyataan SPRM, yang disifatkannya sebagai mengelirukan pelbagai pihak.
Timbalan
Ketua Pesuruhjaya SPRM, itu dipetik berkata 'sekiranya motif memberi
wang atau hdiah oleh clon, ejen atau penyokong kepada pengundi itu
adalah untuk meraih kemenangan untuk parti politik tertentu, maka ia
bukan satu kesalahan'.
Menurut Maria, laras bahasa akta jelas,
semua perbuatan ini merupakan kesalahan, tidak kira siapa melakukannya
dan siapa yang mendapat manfaat apabila perbuatan itu dilakukan dengan
tujuan mempengaruhi undi sesiapa.
"Justeru, amatlah mengecewakan
apabila SPRM seolah-olah memberi laluan percuma kepada parti-parti
politik untuk membeli undi dan mengamalkan rasuah," tegas Maria.
Sehubungan
itu, Bersih menyeru orang ramai untuk terus menyumbangkn peranan
sebagai pemantau pilihan raya bagi melaporkan segala salah laku yang
dilakukan mana-mana parti yang bertanding dalam pilihan raya.
Bersih
2.0, bersama Malaysians for Free and Fair Elections (Mafrel) dan Pusat
Komas melancarkan Pemantau Pilihan Raya Rakyat (Pemantau) yang
berperanan memerhati proses pilihn raya, bagi menghalang dan
mengurangkan usaha-usaha penipuan dan salah laku semasa pilihan raya.
Bagi rakyat Malaysia yang berminat menjadi sukarelawan Pemantau, bolehlah mendaftar di www.pru13.info.
Source - http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/16840-pru13-sprm-seolah-olah-beri-laluan-beli-undi-
No comments:
Post a Comment