BANDAR TUN RAZAK, 3 FEB: Bantuan RM 120 juta kepada Syarikat Bekalan
Air Selangor (Syabas) oleh Kerajaan Persekutuan tidak akan menyelesaikan
kemelut air Selangor kerana Syabas sebelum ini terbukti gagal mengurus
dana yang diberikan kepadanya.
Menurut Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, sebelum ini,
Syabas telah membelanjakan RM 1.169 bilion – lebih daripada yang
diperuntukan di bawah perjanjian – tetapi syarikat itu masih gagal
menurunkan kadar air tidak berhasil (NRW) kepada 19.98 peratus.
NRW adalah air yang hilang melalui kebocoran paip atau yang telah
dicuri. Kadar NRW sekarang di bawah Syabas adalah 33 peratus, kata Abdul
Khalid di dalam satu kenyataan media di sini.
Pada sidang media pagi tadi, Abdul Khalid menegaskan bahawa masalah
pengurusan air, yang pada awal Januari menyebabkan setengah juta
penduduk di Lembah Klang tidak dapat bekalan, hanya boleh diselesaikan
dengan penyusunan semula.
“Kerajaan Persekutuan tahu mengapa penyususnan semula industri air
perlu dilakukan. Pemberian RM120 juta tidak menyelesaikan masalah
Syabas.
“Syabas dan syarikat operator (konsesi) air mesti disusun semula
untuk menyelesaikan masalah penghantaran air dan Non Revenue Water (NRW)
” katanya pada satu sidang media sempena lawatan kerja ke Parlimen
Bandar Tun Razak.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan bahawa
Kerajaan Persekutuan akan memberi peruntukan tambahan sebanyak RM 120
juta kepada Syabas.
Selain itu, Abdul Khalid membidas kenyataan daripada Menteri Tenaga,
Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin Fah Kui yang mendakwa
tarif air yang rendah di Selangor menyebabkan rakyat di negeri ini
menyalahgunakan air.
“Kenyataan Peter Chin dikatakan air di negeri ini murah sehingga
mereka (rakyat) menyalahgunakan air ini adalah tidak berasas. Melalui
kajian kita dari tahun 2004 sehingga 2011, purata penggunaan air
berkapita tidak meningkat.
“Tidak meningkat menunjukkan tidak ada kenyataan orang salah gunakan air,” ujarnya lagi.
Abdul Khalid menegaskan, keperluan asas seperti air dan elektrik tidak
boleh diuruskan dengan matlamat untuk mendapatkan keuntungan. Sebaliknya
ia mesti diuruskan dengan tujuan memberi perkhidmatan terbaik kepada
rakyat.
“Walaupun kita boleh menentukan tarif bayaran tapi kita kena
menentukan tarif yang tidak membawa kepada keuntungan terlalu banyak
kerana keuntungan (terlalu banyak) ini akan memeras (rakyat).
“(Ini menunjukkan) ada perbezaan polisi pengurusan antara Peter Chin dengan saya,” tambah Abdul Khalid.
Minggu lepas, Kerajaan Negeri mengumumkan akan memulakan proses
pengambilalihan perkhidmatan pengedaran dan rawatan air daripada Syabas
dan tiga lagi syarikat konsensi.
Usaha tersebut sebahagian daripada dasar penstrukturan semula industri air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Source - http://www.selangorku.com/?p=22479
No comments:
Post a Comment