“Jangan kamu merasa lemah dalam menghadapi lawanmu. Jika kamu menderita sakit, maka sesungguhnya mereka juga menderita sakit sepertimu sedangkan kamu mengharapkan daripada Allah apa yang tidak mereka harapkan” – Surah An-Nisa' : Ayat 104

Friday, February 1, 2013

Mahkamah benarkan bicara perjanjian air Selangor

Harakahdaily, 31 Jan 2013
 
KUALA LUMPUR: Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan akan membicarakan permohonan untuk mengklasifikasikan laporan audit dan perjanjian konsesi yang dimeterai Syabas dan Kerajaan Selangor pada 15 Disember 2004 sebagai dokumen awam.

Permohonan itu sebelum ini difailkan Gabungan Menentang Penswastaan Air (CAWP) yang meminta butiran perjanjian itu tidak diklasifikasikan sebagai rahsia.
Pengerusi CAWP, Charles Santiago berkata keputusan tersebut adalah satu langkah yang baik kerana memberikan peluang kepada orang ramai mengetahui butiran tentang ‘projek kepentingan awam’.

Katanya, pihaknya akan menulis surat kepada pihak mahkamah supaya menetapkan satu tarikh untuk kes itu dibicarakan.

“Keputusan itu merupakan satu tindakan bagus kerana pihak mahkamah menyatakan bahawa kerajaan negeri mempunyai kepentingan.

“Jadi tidak ada asas untuk menteri tidak membenarkan pendedahan dokumen itu kerana laporan audit tidak pernah diklasifikasikan sebagai sulit di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972,” katanya ketika dihubungi Selangorku.

Sebelum ini, dilaporkan bahawa CAWP memfailkan permohonan meminta laporan audit dan perjanjian konsesi itu diisytiharkan bukan sulit tetapi dokumen awam.

Mereka berhujah laporan audit Syabas menjadi asas kepada keputusan Kerajaan Persekutuan untuk menaikkan tarif air sebanyak 15 peratus di Lembah Klang pada 14 Oktober 2006.

Permohonan gabungan pengguna ini bagaimanapun ditolak Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi pada 4 Disember tahun yang sama atas alasan laporan audit dan perjanjian konsesi tersebut adalah sulit dan rahsia kerajaan Malaysia.

Pada 2011, Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini yang membenarkan responden mendapat akses kepada dokumen-dokumen tersebut.

Sekaligus, keputusan majoriti Mahkamah Rayuan itu menetapkan bahawa dokumen berkenaan tidak didedahkan.

Susulan daripada itu, CAWP memfailkan satu permohonan kepada Mahkamah Persekutuan untuk menimbang semula keputusan Mahkamah Rayuan tersebut.

CAWP terdiri dari Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia dan 13 badan bukan kerajaan yang mewakili pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Source - http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/16425-mahkamah-benarkan-bicara-perjanjian-air-selangor

No comments:

Post a Comment